Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan tidak akan bertolak ansur sekiranya premium insurans kesihatan dinaikkan tanpa alasan munasabah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau saya sendiri tidak yakin kenaikan itu munasabah, saya tidak akan pertahankan dan saya tidak akan izinkan.

“Ini prinsip kita… sebab sementara premium insurans itu dinaikkan, mesti ada alasan yang munasabah.

“Antara yang paling tidak munasabah ialah kadar… ia perlu ada standard sebagaimana banyak negara buat seperti Georgetown University Hospital, Washington.

“Kalau ia bagi ‘stent’ (dalam rawatan penyakit jantung), gerenti dua atau lima tahun dan jika ada masalah dalam tempoh dua tahun, hospital itu wajib beri pengurangan. Kita kena ada mekanisme macam itu,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Blok Baharu Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Anwar berkata, kadar bayaran dikenakan terhadap pesakit perlu munasabah dan mempunyai pengawasan kerana kos perubatan tinggi bukan disebabkan pakar perubatan tetapi penggunaan bilik hospital.

Antaranya, beliau berkata, penggunaan bilik hospital bertaraf tiga bintang dikenakan kadar bilik bertaraf lima bintang.

Justeru, Perdana Menteri meminta kerjasama hospital swasta dalam menangani perkara berkenaan.

“Doktor-doktor perlu ingat bahawa tidak timbul soalan sama ada mempunyai insurans atau tidak… kalau kos itu, itulah… kalau kos RM1,000, (maka) RM1,000 lah… tidak perlu dibezakan. Memang kenyataan saya ini tidak popular tetapi kita harus menerima kenyataan,” katanya.

Sebelum ini, Anwar dilapor memaklumkan kenaikan caj premium insurans sekitar 40 hingga 70 peratus yang dikenakan terhadap pengguna, masih dalam proses rundingan semula dan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) akan dimuktamadkan selepas rundingan diadakan dengan syarikat insurans, pengendali takaful (ITO) serta pihak berkepentingan lain 

Sementara itu, Anwar berkata, pihak pengurusan kesihatan awam serta swasta dicadangkan melabur dalam syarikat tempatan yang mempunyai keupayaan mengeluarkan ubat-ubatan, supaya tidak bergantung pada syarikat pengeluar ubat luar negara yang terlalu mahal.

Beliau berkata, kedua-dua pihak juga perlu mencari jalan serta kaedah untuk mengurangkan kos dan mendapatkan alternatif yang memenuhi standard diterima dunia.

“Mengapa harus kita terbeban dengan kebergantungan pada jenis ubat dari Amerika dan Eropah?

“Kita perlu mencari alternatif lain yang generik dan boleh diterima. Misalnya, Brazil, India, Turkiye dan China adalah negara terkenal mengeluarkan ubat generik yang jauh lebih murah,” katanya.

Bagi menjimatkan pengurusan kesihatan pula, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pihak swasta boleh mencari kaedah terbaik dan kompetitif, iaitu membeli peralatan kesihatan secara pukal dengan kerjasama Kementerian Kesihatan supaya harganya lebih berpatutan.

Terdahulu, Anwar merasmikan blok South Wing yang baharu di Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang.

Hospital itu yang dilengkapi teknologi Krioterapi Cryo-7, adalah satu-satunya pusat perubatan di Pulau Pinang yang menawarkan sistem khusus bagi mengurangkan kesakitan dan keradangan menggunakan udara sejuk ketika proses pemulihan.-BH Online