GURUN: Delegasi Parlimen Malaysia akan mengadakan jelajah ke semua negara ASEAN sebagai persediaan penganjuran Perhimpunan Agung Antara Parlimen Asean (AIPA) pada September 2025.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata jelajah itu akan dimulakan 13 Januari depan bagi mendapatkan input untuk memastikan Malaysia mampu menjadi tuan rumah AIPA yang terbaik.
Beliau yang juga Presiden AIPA ke-46, berkata kunjungan ke Parlimen negara-negara ASEAN berkenaan akan diisi perbincangan mengenai isu serantau dan antarabangsa demi kepentingan bersama.
“Mulai 13 Januari ini, saya akan melawat semua negara ASEAN untuk berbincang dengan mereka sebelum mesyuarat, saya akan ‘tour’ seluruh negara Asean untuk pastikan kita menjadi tuan rumah yang terbaik.
“Saya yakin acara yang akan diadakan mendapat sambutan baik dari kalangan negara ASEAN berdasarkan maklum balas yang diterima setakat ini,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Masjid Safuan, Jeniang, di sini semalam.
Johari berkata, beliau sudah merancang dan bersedia untuk menguruskan semua acara berkaitan, iaitu lima mesyuarat termasuk Perhimpunan Agung AIPA di Kuala Lumpur pada 1 hingga 6 September tahun depan.
“Mesyuarat lain, kita bahagikan ke negeri-negeri termasuk Selangor, Pahang dan insya-Allah di Sarawak supaya tetamu bukan sahaja dapat melihat keindahan dan kehebatan Kuala Lumpur, tetapi juga di luar Kuala Lumpur,” katanya.-BH Online