Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BATU KAWAN: Kira-kira 1,400 penjawat awam tidak menandatangani Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) selepas tempoh opsyen 40 hari berakhir pada 30 November lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata jumlah itu kecil berbanding keseluruhan 1.5 juta penjawat awam ketika ini.

Beliau menegaskan, penjawat awam yang tidak memilih opsyen itu adalah perkara biasa dan mereka mungkin sudah membuat pertimbangan sewajarnya.

“Kita tidak memaksa kerana percaya ada pertimbangan khusus dibuat oleh mereka tetapi kerajaan sentiasa melakukan sesi libat urus bagi mereka yang tidak memilih opsyen ini supaya tidak menyesal kelak.

“Selepas tempoh berakhir pada 30 November lalu, kita dapati yang tidak menandatangani SSPA ini hanya 0.13 peratus iaitu sekitar 1,400 daripada 1.5 juta penjawat awam.

“Mereka berada dalam kumpulan pengurusan, pelaksana dan profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup Kampung Angkat MADANI JPA di Pulau Aman di sini, hari ini. 

Wan Ahmad Dahlan berkata, perkara itu sudah dilapor kepada Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam mesyuarat jawatankuasa Kabinet baru-baru ini.

“Perdana Menteri gembira dengan pencapaian ini dan kami mengucapkan tahniah dan syabas kepada pasukan yang melaksanakan program SSPA ini dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan melanjutkan atau membuka semula tawaran itu sekiranya ada penjawat awam yang tidak menandatangani opsyen berkenaan berubah hati mahu memilih skim terbabit.

“Ini jelas dan kita sudah maklumkan tarikh akhir memilih SSPA adalah pada 30 November lalu.

“Apabila melepasi tarikh itu, tidak ada lagi ruang untuk mereka yang tidak memilih SSPA,” katanya.

Kakitangan awam diberi tempoh opsyen selama 40 hari bermula 21 Oktober hingga 30 November lalu untuk memilih SSPA atau kekal dengan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Melalui pelaksanaan SSPA, kerajaan bersetuju meningkatkan Gaji Permulaan Terendah (GPT) kepada RM1,500 dengan kelayakan masuk ke perkhidmatan awam minimum di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ini berbanding RM1,200 berkuat kuasa sejak Julai 2016 dengan kelayakan masuk di peringkat Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) atau Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Pemberian pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan serta Profesional akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu 8.0 peratus atau minimum RM240 pada Fasa 1 mulai 1 Disember dan 7.0 peratus bagi Fasa 2 pada 1 Januari 2026.

Bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi, pemberian pelarasan gaji 7.0 peratus dengan pecahan 4.0 peratus bagi Fasa 1 bermula pada 1 Disember dan 3.0 peratus dilaksanakan pada 1 Januari 2026.-BH Online