SUNGAI BESAR, 8 Disember-Sembilan Pusat Pemindahan Kekal sedang disediakan bagi mengelak kerosakan kepada sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata Pusat Pemindahan Kekal itu akan diwujudkan sekurang-kurangnya satu di setiap negeri; bergantung kepada peruntukan.
Jelasnya, inisiatif mewujudkan Pusat Pemindahan Kekal itu dilaksana mengambil kira kos penyelenggaraan semula PPS yang tinggi.
“Sembilan pusat pemindahan kekal sedang disediakan, sekurang-kurangnya satu di setiap negeri dan bergantung peruntukan.
“Kita akan buat pusat pemindahan kekal ini kerana kos untuk menyelenggara semula pusat pemindahan sementara di sekolah-sekolah terlalu tinggi. Kasihan, sekolah berkenaan terutama bila kelas-kelas diperbaiki semula dan banyak sekolah tiada dewan.
“Maka ini akan disantuni KPM dan bantuan JKR dan Kementerian Kewangan”, katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penyerahan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) di sini.
Sementara itu, Zahid turut memaklumkan 32 jambatan Bailey sedang disediakan untuk diaturgerak ke lokasi terjejas banjir.
Jelasnya, setakat ini tujuh lokasi telah dikenalpasti bagi tujuan tersebut.
Tambahnya, ujian tanah juga sedang dilakukan berserta tindakan kejuruteraan di kawasan tertentu sebelum proses pembinaan jambatan tersebut dijalankan.
“32 jambatan bailey untuk ditempatkan di jambatan, jalan runtuh atau rosak teruk sehingga menyebabkan jalan-jalan terputus.
“Setakat ini, kita telah mengenalpasti tujuh lokasi dan lima daripada jambatan bailey itu dalam stok NADMA. Manakala ATM dan JKR memegang stok selebihnya.
“Kerjasama antara JKR dan Kor ATM sentiasa bersiap siaga dan sedang melaksanakan pembinaan dengan mengadakan ujian tanah di kwasan tertentu memandangkan tanah agak lembut di kawasan dilanda banjir dan beberapa tindakan kejuruteraan sedang dilakukan.
“Kos keseluruhan bergantung kepada siapnya kerja kerja pembinaan jambatan itu tetapi saya telah meminta agar kerja kerja itu diadakan dan disiapkan dalam tempoh 72 jam pembinaan daripada permulaan pembinaan”, katanya.-Berita RTM