Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TUMPAT: Lebih 10,000 kes kesihatan dikesan di enam negeri yang terjejas banjir setakat semalam, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Antaranya adalah ‘acute respiratory infection’ (ARI) sebanyak 6,730 kes, jangkitan kulit (3,021), acute gastroenteritis’ (298), konjunktivitis (190), kes cacar air (20) serta 13 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)

“Bagaimanapun tiada wabak penyakit berjangkit dilaporkan di PPS (pusat penempatan sementara) dan semua kes penyakit berjangkit adalah sporadik dan stabil,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau yang diiringi Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin hadir di PPS Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, di sini, menyantuni 1,341 mangsa banjir membabitkan 336 keluarga yang masih berlindung di situ.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefl berkata sebanyak 121 fasiliti kesihatan turut terjejas akibat banjir dengan 56 adalah klinik desa, klinik kesihatan (34), klinik pergigian (19), pejabat kesihatan daerah (5), hospital (6) dan pintu masuk antarabangsa (1).

Katanya, Kelantan mencatatkan angka paling tinggi iaitu 77 diikuti Terengganu (30) dengan nilai kerugian dianggarkan mencecah RM6.5 juta

“Secara keseluruhan sebanyak 121 fasiliti kesihatan di seluruh negara yang terjejas akibat banjir. Selain Kelantan dan Terengganu, ia turut membabitkan Negeri Sembilan, Kedah, Pahang dan Perak.

“Sebanyak 87 fasiliti kesihatan beroperasi dan 31 fasiliti kesihatan berpindah perkhidmatan kesihatan ke fasiliti alternatif.

“Hanya terdapat tiga fasiliti tidak beroperasi kerana masih dalam proses pembersihan dan orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan termasuk fasiliti alternatif seperti biasa,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata, secara kumulatif, aktiviti Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) sudah dijalankan di 321 PPS di Terengganu; Kedah (137 PPS); Kelantan (87 PPS); Pahang (19 PPS); Perak (16 PPS); Johor (11 PPS) dan Melaka (4 PPS). 

“Bilangan sesi ‘Psychological First Aid’ (PFA) yang dijalankan adalah sebanyak 17,795 sesi untuk orang awam, 315 sesi untuk petugas KKM dan 356 sesi untuk petugas agensi lain. 

“Aktiviti yang dijalankan terdiri daripada 10,916 sesi Psiko Pendidikan, 5,963 sesi relaksasi dan 3,347 ekspresi seni,” katanya.-BH Online