Malaysia dan Brunei memperkukuhkan lagi hubungan antara mereka sempena lawatan Sultan Hassanal Bolkiah selama tiga hari ke Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, lawatan Sultan Brunei yang kedua selepas beliau menjadi Perdana Menteri itu memperkukuhkan kerjasama dalam bidang belia dan sukan, serta kehakiman syariah antara yang dimeterai melalui dua memorandum persefahaman (MoU).
“Saya dan Baginda juga sempat menyaksikan perjanjian triti berkaitan Pemindahan Antarabangsa Banduan (ITOP) yang antara lain dijangka mampu membentuk kerjasama yang cekap antara agensi penguatkuasaan undang-undang dan pihak berkuasa perundangan kedua-dua negara,” kata Anwar.
Katanya, adalah menjadi harapan agar kesemua perkara dibincangkan dan dimeterai hari ini memacu kerjasama lebih erat dan pemangkin kepada hubungan setiakawan antara Malaysia-Brunei yang lebih rapat di masa hadapan.
Sempena lawatan negara Sultan Brunei, PM Anwar sempat membawa Baginda melihat sekitar Seri Perdana Putrajaya dalam suasana santai dan penuh harmoni.
“Saya sempat memperkenalkan beberapa menteri kabinet kepada Baginda dan delegasi sementelahan ini platform terbaik dalam merapatkan silaturahim antara dua kerajaan,”katanya.
Hatta, dalam pertemuan empat mata pula, kedua-dua pemimpin negara itu membincangkan hal terkait antara dua negara berjiran, nescaya isu-isu pokok seperti kerjasama ekonomi dan pendidikan turut disentuh.
“Moga apa yang dibincang ini mampu melonjakkan lagi hubungan antara kedua negara dan juga semangat ASEAN dalam menopang arus perubahan teknologi glokal, Insya-Allah,” kata PM Anwar.