KEMAMAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengaktifkan program jualan Rahmah Madani di lokasi terjejas banjir di seluruh negara, terutama di Kelantan dan Terengganu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata jualan Rahmah Madani akan diaktifkan di lokasi berkenaan bagi membantu rakyat mendapatkan barangan yang ditawarkan di antara 10 peratus dan 30 peratus lebih murah daripada pasaran.
“Walaupun jadual jualan Rahmah Madani sudah ditetapkan, kita akan aktifkan di lokasi terjejas banjir bagi membantu masyarakat yang terkesan mendapatkan barangan dengan harga lebih murah,” katanya.
Terdahulu, Armizan menyantuni 83 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terkesan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Jernih, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Armizan turut menyampaikan kotak makanan kepada semua calon yang terpaksa menduduki ujian lisan Bahasa Melayu di SMK Chenih Baharu, selepas laluan ke pusat pemeriksaan di SMK Air Jernih ditenggelami air.
Yang turut hadir adalah Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah), Rosli Chik dan Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.
Dalam perkembangan lain, Armizan berkata, KPDN juga meluluskan penghantaran bekalan barangan keperluan harian daripada luar kawasan ke negeri yang terbabit banjir kepada 635 pemborong terpilih daerah (DDW).
Katanya, kelulusan itu bukan sahaja terhad kepada penghantaran bekalan barangan keperluan, malah perkhidmatan pengisian bahan api, termasuk diesel dan petrol melalui perkhidmatan pengisian bahan api mudah alih (ROVR).
“Pelan kontingensi ini diberikan bagi mengelak berlakunya gangguan bekalan barangan, sekali gus mengekang peningkatan harga yang keterlaluan disebabkan bekalan berkurangan,” katanya.
Armizan berkata, sebanyak 635 DDW dan 1,359 peruncit terpilih daerah (DDR) dilantik untuk menyimpan stok bekalan barangan sebanyak 30 peratus melebihi had simpanan ditetapkan.
Ketika mengulas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapatkan barangan bekalan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir, Armizan berkata, KPDN menggalakkan pihak yang ingin menghulurkan bantuan mendapatkan bekalan daripada kawasan atau negeri yang tidak terjejas banjir.
“Kita mengalu-alukan NGO atau badan korporat menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir, tetapi bagi memastikan tidak berlaku gangguan bekalan di kawasan terkesan banjir, kita minta pihak berkenaan mendapatkan bekalan dari luar kawasan terjejas banjir,” katanya.
Ketika diminta mengulas kenaikan harga santan daripada RM11 sekilogram (kg) kepada RM16 kg, Armizan berkata, KPDN akan melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca kenaikan.-BH Online