PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui berang dengan kelewatan projek MyDigital ID dan rangkaian kedua 5G menyebabkan beliau terpaksa melepaskan kemarahan yang agak keras dalam satu mesyuarat semalam.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaan MyDigital ID terlambat selama setahun manakala rangkaian 5G kedua masih tertangguh kerana rundingan untuk projek itu tidak mendapat respons positif daripada Digital Nasional Bhd (DNB) dan syarikat telekomunikasi.
Tindakan itu kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah mengundang rasa terkejut kepada kalangan mereka yang hadir termasuk menteri Kabinet.
“Ada hal rumit yang berbangkit yang menyebabkan saya kurang sabar dalam dua tahun ini. Saya melahirkan rasa kemarahan agak keras sedikit (semalam).
“Kadang-kadang harapan kita tinggi, maknanya MyDigital ID pelaksanaannya terlambat hampir setahun. Kemudian urusan rundingan DNB (Digital Nasional Berhad) dengan syarikat telco (telekomunikasi) juga tertangguh,” katanya berucap pada perhimpunan bersama kakitangan Kementerian Kewangan (MOF), di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kemarahan itu diluahkannya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang berlangsung semalam.
“Ingatan kita satu tahun dulu belum dijawab secara positif oleh kedua-dua pihak (DNB dan Telco), ini menyebabkan saya hilang kesabaran.
“Tapi saya harus ingat juga bahawa (saya) marah terutama yang hadir menunjukkan saya juga ada kekurangan sebagai orang biasa, ada harapan tinggi, yang menggunung. Jadi bila tak kesampaian, saya sampaikan (kemarahan itu).
“Teman-teman yang hadir itu agak terkejut dengan sikap saya. Sebab apa? Kita sudah lakukan sebaiknya,” katanya turut memohon maaf kepada pihak yang terkesan atas ketelanjuran sikapnya semalam.
Antara menteri Kabinet yang hadir dalam mesyuarat itu semalam ialah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Selain itu, Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Anwar menegaskan, kelewatan kedua-dua projek itu disifatkan sebagai cuai dan menjejaskan kemajuan negara dalam merealisasikan agenda transformasi digital.
“Kerja itu yang saya anggap cuai, lambat kerana bagi saya bagaimana digital kita nak bawa kepada AI (kecerdasan buatan), padahal perkara asas yang patut kita bina dalam negara belum kita siapkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaan kedua-dua projek itu adalah penting dan perlu disegerakan kerana negara akan mempengerusikan ASEAN tahun hadapan, yang antara lain memfokuskan kepada agenda Grid Tenaga ASEAN, rangkaian digital dan teknologi makanan.
“Jadi, kita kena bangkit sebagai negara yang punya keupayaan dan menjadi contoh. Saya fikir masa dua tahun itu masa yang cukup untuk mempersiapkan semua ini,” katanya.
MyDigital ID ialah satu inisiatif kerajaan bagi pengesahan identiti secara selamat dan sah untuk pengguna dalam talian yang dibangunkan sejak 2016.
Rangkaian 5G kedua pula merujuk kepada infrastruktur 5G tambahan yang melengkapi model Rangkaian Borong Tunggal (SWN) sedia ada disediakan oleh DNB.
Ia disediakan bertujuan merapatkan jurang digital dan memacu infrastruktur digital yang lebih baik, jangkauan lebih luas, terutama di kawasan kurang mendapat perkhidmatan di luar bandar.
Fahmi pada sidang media baru-baru ini sudah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapatkan pelan perancangan seterusnya daripada U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) berhubung proses pelaksanaan rangkaian 5G kedua di negara ini.
Langkah itu menurut Fahmi adalah susulan agensi berkenaan memberi kebenaran kepada U Mobile untuk mengadakan perbincangan strategik dengan syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang lain (MNO).
Berkenaan MyDigital ID, Anwar pada 21 November tahun lalu, mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM80 juta kepada agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) Mimos Bhd, untuk menyegerakan pelaksanaan Digital ID dan memperkasakan transformasi digital serta membangunkan inisiatif digital khususnya membabitkan urusan dengan kerajaan.
Beliau juga menjelaskan pendaftaran MyDigital ID adalah langkah awal dalam pemberian subsidi bersasar serta pelbagai kemudahan lain oleh jabatan kerajaan dan pihak swasta.
Namun setakat November lalu, media melaporkan hanya 1.2 juta pengguna sudah mendaftar di bawah MyDigital ID.-BH Online