Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Mahiaddin Yassin disiasat dalam kes 3R ekoran ucapan pemimpin pembangkang tersebut di Kapar baru-baru ini.
Mahiaddin dalam ucapan tersebut menuduh kerajaan tidak membuat rayuan dalam kes kalimah Allah kerana didominasi bukan Melayu. Ekoran itu, Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) membuat laporan polis terhadap Mahiaddin.
“Sultan Selangor sebelum ini sudah menitahkan supaya isu terbabit tidak dibahaskan sehingga ia dibincangkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR), namun Muhyiddin didapati telah ingkar kepada titah Sultan Selangor yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI),” kata Saifuddin.
“Itu boleh dinilai oleh rakyat, kalaulah nasihat Tuanku pun tak boleh nak patuh, nasihat siapa lagi?” katanya.
Beliau turut menasihatkan PN agar tidak menimpakan kesalahan pada pihak lain apabila polis bertindak kerana mereka memainkan isu 3R.
“Apabila diambil tindakan, dia kata dia menjadi mangsa. Dia kata di Malaysia sudah tiada kebebasan bersuara.
“Jadi sekali lagi kita mengulangi supaya tak perlu menyentuh perkara-perkara yang telah diberi peringatan berulang kali sama ada oleh pihak berkuasa atau institusi raja-raja,” katanya pada sidang media ketika Majlis Makan Malam Amal Bersama Pemimpin anjuran Pertubuhan Kebajikan Kebudayaan dan Sosial Kaum India Pulau Pinang di sini pada malam Khamis.
Isu REE
Dalam pada itu, Saifuddin turut menegaskan bahawa beliau empunyai bukti berkaitan kes kecurian nadir bumi di Bukit Enggang , Sik yang kini disiasat pihak berkuasa.
“(Sebahagiannya) sudah disiasat dan sudah ada sabitan. Ia sangat jelas, takkan mahu buat penafian lagi? Ini penyakit ‘denial sindrom’ daripada individu yang semakin terhimpit apabila saya mendedahkan pelbagai bukti saban hari.
“Isunya kecurian REE di Bukit Enggang, Sik di Kedah, membabitkan beberapa nama yang kebetulan membabitkan warga asing.
“Kaedah mereka (suspek) masuk (ke Malaysia) pula, Muhammad Sanusi menulis kepada Kementerian Dalam Negeri supaya dapat pas lawatan ikhtisas dan majikan mereka ialah Perbadanan Menteri Besar,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian sebagai balasan kepada gesaan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menggesa Saifuddin mengemukakan bukti kecurian REE di mahkamah.
Antara agensi yang menyiasat kes ini termasuklah Jabatan Mineral dan Galian (JMG), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Jabatan Perhutanan juga sudah selesai siasat dan ada sabitan (bagi kesalahan) menceroboh hutan simpan. Hanya Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah sahaja belum, yang pengarahnya kebetulan kawan baik Muhammad Sanusi, belum memulakan siasatan kes terbabit.