KUALA LUMPUR: Banjir teruk yang melanda Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu berpunca daripada hujan lebat berterusan melebihi tempoh enam jam yang membawa limpahan hujan dua kali ganda, sekali gus mengakibatkan kenaikan paras sungai berbanding 2014.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata faktor sedemikian membuatkan banjir di dua negeri itu menjadi teruk berbanding 10 tahun lalu.
Selain itu, katanya, ia juga disebabkan pertembungan air pasang besar serta permulaan musim tengkujuh yang bermula dari 5 November lalu dan dijangka berterusan hingga Mac depan.
“Punca banjir di Kelantan dan Terengganu disebabkan hujan lebat melebihi enam jam yang membawa limpahan hujan (aliran) dua kali ganda lebih tinggi daripada kebiasaan yang berbeza mengikut tempat.
“Ada tempat limpahan hujannya melebihi dua kali ganda daripada jumlah purata hujannya daripada biasa selain didorong keadaan air pasang besar.
“Ini bermakna paras sungai, laut yang sedia tinggi bertembung dengan hujan mengakibatkan limpahan sungai lebih tinggi daripada 2014,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan Banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Ampang di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, sebelum itu turut melawat Bilik Gerakan Banjir di Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Timur 19, Petaling Jaya.
Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan aliran limpahan sungai itu mengalir ke Pahang dan Johor dan membawa risiko banjir sama ke arah selatan.
“Mengikut jangkaan, selepas ini, Pahang dan Johor pula mengalaminya. Justeru kita membuat pemantauan rapi dan bersiap siaga dari sekarang hingga Mac depan.
“Kita akan mengambil langkah berjaga-jaga sehingga Mac dan sentiasa memantau aliran aliran air sungai dan juga hujan,” katanya.
Katanya, seperti dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) musim tengkujuh ini diramalkan membawa lima hingga tujuh episod hujan lebat membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Memang diramalkan banjir besar berpotensi berlaku di 4,617 kawasan panas banjir akibat limpahan sungai selepas hujan lebat berterusan melebihi enam jam,” katanya.
“Setakat semalam, tujuh amaran banjir dikeluarkan di Besut, Setiu (tiga) dengan risiko banjir bermula hari ini hingga 6 Disember.
“Sementara itu, menerusi episod hujan dari 26 hingga 30 November lalu, menyaksikan 674 notifikasi hujan lebat melebihi 60 milimeter (mm), 27,972 notifikasi aras air sungai tahap bahaya dengan Kelantan mencatatkan bacaan hujan luar biasa di sembilan stesen termasuk Kusial, Tanah Merah (1,167mm), manakala bacaan tertinggi di Kalabe, Besut (1,439mm),” katanya.
Dalam pada itu berkenaan sesetengah pihak mengambil kesempatan mengutip sumbangan, Fadillah menasihatkan orang ramai supaya menyemak pihak berkuasa untuk memastikan apa-apa mesej untuk bantuan dipastikan kesahihannya sebelum menyalurkan bantuan.-BH Online