Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) dijangka menurun pada minggu depan susulan hujan akan berkurangan seperti diramalkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata situasi semasa banjir di seluruh negara ketika ini khususnya di Kelantan dan Terengganu adalah membimbangkan, malah lebih teruk berbanding suasana banjir pada 2014.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya berharap ramalan dikeluarkan MetMalaysia bahawa luruan hujan akan berkurangan pada minggu depan akan jadi kenyataan.

“(Luruan hujan) menyebabkan akan berlaku pengurangan air banjir di daratan, namun kita yakin apabila luruan hujan itu berkurangan, ia akan mengurangkan pemindahan mangsa banjir ke PPS,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata, kesiapsiagaan saja tidak mencukupi jika penduduk yang tinggal di kawasan dilanda banjir enggan mematuhi arahan diberikan untuk berpindah apabila keadaan bencana semakin buruk.

“Kita mempunyai kekuatan dan anggota di seluruh negara yang dimobilisasikan seramai lebih 82,000 orang dan PPS boleh disiapsiagakan bagi memuatkan 2.1 juta mangsa banjir.

“Justeru, (mangsa banjir) perlu mengikut nasihat diberikan jawatankuasa bencana daerah dan jawatankuasa bencana negeri untuk berpindah awal.

“Kita tidak mahu jumlah kematian bertambah, maka kesiapsiagaan dan juga amaran awal itu mesti diikuti sepenuhnya supaya kita (dapat) elak kehilangan nyawa.

“Saya sempat ke Kelantan dan Terengganu, saya melihat wakil rakyat daripada pelbagai parti berbeza juga turut bersama jentera yang ada untuk membantu mangsa banjir.

“Kita ketepikan perbezaan warna (parti) dalam kalangan kita demi menyantuni dan menyelesaikan masalah mangsa banjir,” katanya.-BH Online