KUALA LUMPUR: Individu, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta yang ingin membantu mangsa banjir, dinasihatkan merujuk dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atau Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi menyelaraskan agihan bantuan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya amat menghargai inisiatif dan usaha murni mereka untuk membantu mangsa banjir, namun pelarasan perlu dibuat bagi memastikan agihan bantuan lebih tersusun serta menyeluruh.
Beliau berkata, langkah itu juga bagi memudahkan agensi terbabit serta pihak NGO atau swasta mengatur pergerakan agihan bantuan, terutama di kawasan yang terputus hubungan atau berdepan risiko keselamatan.
“Pihak NGO atau swasta turut dinasihatkan tidak bekerja secara sendiri dan bergerak melalui kerajaan. Kita faham yang menjadi mangsa itu keluarga, rakan kita… tetapi kita perlu selaraskan.
“Hubungi NADMA, JKM atau pejabat daerah, kita akan bantu selaraskan. Kalau tanpa pemakluman, kita tidak dapat bantu kerana ada kawasan yang sukar diakses. Kita juga mahu tiada mangsa yang keciciran bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Jalinan Kasih Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2024 dan perasmian Klinik Fertiliti LPPKN Full Paying Patient (FPP), di sini, hari ini.
Seterusnya, Nancy memberi jaminan bahawa kementerian melalui JKM bersama NADMA akan memastikan agihan bantuan bencana diselaraskan sebaik mungkin bagi memastikan tidak berlaku keciciran bantuan.
“Koordinasi dengan semua agensi terbabit juga dibuat dengan teliti. Ini pendekatan menyeluruh kerajaan untuk membantu mangsa banjir.
“Setakat ini, tiada laporan keciciran bantuan… yang ada kes di Rantau Panjang (Kelantan) kerana lokasi menjadi pulau akibat banjir, namun kita sudah tangani segera,” katanya.
Banjir di beberapa negeri bertambah buruk dengan Pahang menjadi negeri terbaru ditimpa bencana itu. – BERNAMA