KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian Malaysia dalam menuntut keadilan bagi rakyat Palestin, terutama di Gaza tidak berubah biarpun menjalinkan kerjasama dengan pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri berkata perkembangan itu antara lain tidak menjejaskan, mengurangkan atau mengekang pendirian Malaysia dalam menyuarakan tuntutan hak kepada jutaan rakyat tertindas di Palestin.
“Kita sekarang menjalinkan semua hubungan dengan pasukan baharu (pentadbiran AS) setakat upaya kita.null
“Namun, Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat, pendirian kita dalam isu antarabagsa, termasuk keganasan, kezaliman, penindasan (dan) penjajahan di Palestin dan Gaza akan terus kita suarakan.
“Saya tak fikir pertimbangan ekonomi sementara sangat penting boleh menjejaskan, mengurangkan atau mengekang pendirian kita dalam menyuarakan tuntutan hak keadilan buat rakyat Palestin, khususnya di Gaza,” katanya.
Beliau menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai risiko sekatan perdagangan dari AS susulan kelantangan Anwar mempertahankan hak rakyat dan negara Palestin, pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, hubungan diplomatik Malaysia-AS dalam keadaan baik, selain negara masih meneruskan semua perkongsian komprehensif dan kerjasama.null
“Ini termasuk pertemuan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.
“Malah, saya sendiri juga mengambil masa untuk berbincang dengan Blinken walapun beliau akan meninggalkan jabatan. Hubungan ini membabitkan pelaburan, perdagangan dan kerjasama diplomatik,” katanya.
Perdana Menteri berkata, jumlah dagangan dua hala Malaysia-AS meningkat 29.1 peratus kepada RM264.28 bilion, membabitkan AS$57.67 bilion, antara Januari hingga Oktober lalu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peningkatan itu direkodkan pada kadar agak tinggi, berbanding RM204.78 bilion (AS$45.09 bilion) bagi tempoh sama, pada 2023.
“Projek yang sudah dijalankan dan sedang diuruskan pula adalah sebanyak 1,321, membabitkan pelaburan keseluruhan bernilai AS$39 bilion,” katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu juga mengakui bimbang berhubung perkembangan terbaharu, termasuk tindakan terkini kenaikan tarif dilaksanakan AS ke atas Mexico, Kanada dan China.
“Setakat ini, kita pantau ia tidak membabitkan isu dasar luar, termasuk soal Gaza atau Palestin. Ia membabitkan soal imbangan bayaran antara dua negara di mana berlaku defisit seperti Presiden AS, Donald Trump mengumumkan semasa kempen (Pilihan Raya Presiden AS),” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, perjuangan menuntut keadilan terhadap rakyat Palestin adalah konsisten dengan pendirian negara untuk membela mana-mana masyarakat global yang turut berdepan penindasan dan kezaliman.
Pendirian itu, katanya, merentasi perbezaan latar belakang, agama, politik dan kumpulan etnik dengan ia dikongsikan dalam pertemuan empat mata bersama pemimpin negara luar biarpun sebahagiannya tidak diumumkan secara terbuka.
“Dalam sejarah hitam di Sri Lanka, terutama ketika bekas Presidennya, Mahinda Rajapaksa. Penindasan terhadap etnik Tamil sangat meluas, termasuk majoriti Hindu dan Muslim.
“Saya pernah jumpa mereka ketika memberi syarahan di Colombo dan menyuarakan pandangan ini secara terbuka.
“Namun, pentadbiran Sri Lanka sudah berubah. Kita mengalu-alukan pendirian kerajaan terkini menghentikan segala kezaliman dan driskriminasi ke atas rakyat, etnik Tamil, Hindu serta Muslim.
“Pendirian ini konsisten seperti dilakukan ketika membela perjuangan Nelson Mandela di Afrika Selatan dan dimana-mana,” katanya menjawab soalan tambahan Rayer mengenai pendirian kerajaan membela masyarakat global yang tertindas dan dizalimi selain di Palestin.-BH Online