Matlamat Perikatan Nasional untuk memperoleh 30 daripada 56 kerusi DUN di Selangor adalah mustahil, kata penganalisa politik.
“Dalam konteks PRN potensi Perikatan Nasional untuk mendapat lebih daripada 30 kerusi adalah satu misi yang agak mustahil untuk dicapai dalam konteks masa sekarang,” kata penganalisa politik Awang Azman Awang Pawi dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.
“Saya kira sukar untuk PN untuk menembusi kubu kuat Pakatan Harapan, apatah lagi untuk menafikan majoriti dua pertiga kekuatan PH, lebih -lebih lagi sekarang ini sudah ada kerjasama antara BN dan PH.
Beliau turut menjelaskan ucapan PN di Selangor hanyalah sekadar retorik politik semata-mata.
“Saya lihat apa yang diucapkan oleh pemimpin PN lebih kepada retorik atau strategi mereka meyakinkan penyokong mereka sedangkan sepatutnya PN perlu bimbang terlebih dahulu akan kerusi yang mereka tandingi di negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu yang saya kira mungkin ada beberapa anjakan dan sentimen baru yang boleh memberikan saingan besar kepada PN di Pantai Timur dan utara tersebut.
Beliau menambah hakikat bahawa gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sebagai kerajaan perpaduan sebenarnya memberikan kelebihan di dalam pilihan raya ini terutamanya di pantai timur dan Kedah.
“PN perlu fokus kepada Kelantan, Terengganu dan Kedah sebab sentimen hari ini tidak sama dengan sentimen tahun lepas kerajaan persekutuan ketika itu ialah PN. Sekarang kerajaan persekutuan di Putrajaya ialah Kerajaan Perpaduan dipimpin oleh PH dan BN.
Awang Azman menambah PN kini tidak lagi boleh menggunakan slogan bersih dan stabil yang digunakan di dalam pilihan raya umum tahun lalu.
“Ini merupakan padang berbeza, isu yang dihadapi PN jauh lebih serius trutamanya bila melibatkan apa yang dikatakan sebagai politik wang yang mereka anggap sebagai sedekah dan dana yang ada pada PN kebanyakannya bukan sahaja sudah dibeku malah dirampas oleh SPRM.
“Imej PN yang mereka dambakan sebagai bersih dan stabil kini menjadi kurang bersih apabila sudah ada siasatan dan kes mahkamah melibatkan pimpinan PN. Imej stabil dan bersih itu tidak lagi terpakai dalam konteks masa ini.
Penganalisa politik dari Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali pula berpandangan gabungan PH mempunyai kelebihan di Selangor.
“Saya fikir beberapa polisi program dan penyampaian oleh kerajaan perpaduan memberi kesan yang baik kepada penerimaan rakyat dan khususnya di Selangor yang demografinya pelbagai kaum menyukarkan sedikit peluang PN untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN di dalam PRN.
“Ini kerana Selangor negeri pelbagai kaum dan ia negeri dimana kedudukan antara kaum dalam satu kawasan itu memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan sebagai parti yang disokong semua kaum.
“Pada masa sama gabungan dengan BN mempunyai fixed deposit Melayu sebanyak 20 peratus mungkin akan menyumbang kepada pencapaian yang baik untuk kerajaan perpaduan di negeri Selangor. Inilah cabaran yang dihadapi PN di Selangor – negeri yang dikuasai PH selama tiga penggal.”
Selangor akan menyaksikan pilihanraya negeri bersama lima negeri lain pada 12 Ogos.