KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat menyediakan platform serta ruang perbincangan mengenai pertahanan yang konstruktif, terbuka dan progresif untuk rakan-rakan dialog strategik ketika tempoh kepengerusian ASEAN pada tahun depan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ia sebagai pendekatan serta langkah ASEAN dalam mendepani cabaran geopolitik, keselamatan dan pertahanan yang lebih mencabar pada peringkat global.
Beliau berkata, dengan tema ‘ASEAN Unity for Security and Prosperity’, Malaysia bertekad untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN dengan efektif dan berkesan buat setiap negara anggota, demi terus memelihara kestabilan serta keselamatan serantau.
“Adalah menjadi tekad Malaysia untuk meneruskan segala pencapaian yang membawa ASEAN ke tahap lebih tinggi, sekali gus membawa manfaat kepada setiap komuniti negara-negara anggota dan kesejahteraan serantau,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Mohamed Khaled kini berada di Vientiane, Laos, untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Ke-18 dan ADMM-Plus Ke-11 yang berakhir semalam.
Beliau berkata, pada akhir mesyuarat itu, Laos turut menyerahkan kepengerusian ADMM dan ADMM-Plus kepada Malaysia dengan disaksikan ketua delegasi setiap negara yang hadir ke mesyuarat itu.
“Tahun 2025 menjadi tahun begitu bermakna buat Malaysia. Bukan saja kerana Malaysia akan mempengerusikan ASEAN, bahkan ia merupakan ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN, malah Malaysia akan melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2045,” katanya.
Malaysia telah memegang tampuk kepengerusian ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015, yang menyaksikan setiap kali kepengerusian dijalankan, Malaysia memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama serantau serta mempertingkatkan integrasi ekonomi ASEAN. – BERNAMA