Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PASIR GUDANG: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan meneliti keperluan melaksanakan perolehan helikopter baharu jika Tentera Darat Malaysia (TDM) gagal menyewa aset udara yang diperlukan itu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata ketika ini TDM dalam proses mendapatkan helikopter tersedia untuk disewa melalui prosedur yang dilakukan dengan teliti mengikut spesifikasi aset diperlukan.

“Perolehan aset termasuk untuk pajakan, sewaan helikopter perlu dilakukan dengan teliti mengikut spesifikasi aset diperlukan TDM, menyebabkan ia memakan masa.null

“TDM perlu buat kajian dan mengeluarkan jemputan kepada mana-mana pihak, jika ada helikopter tersedia mengikut spesifikasi dikehendaki. Saya percaya proses ini sedang diusahakan, namun kadangkala helikopter tiada dalam pasaran.

“Perlu diingat, Black Hawk disewa lima tahun dan bukannya dibeli. Jika itu tidak dapat diteruskan, mungkin kita kena fikir untuk beli dan ia akan mengambil masa sedikit lama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Zakat Wakalah di Masjid Muhajirin, Taman Rinting, Masai, dekat sini hari ini.

Pada 6 November lalu, MINDEF dilaporkan udah menyerahkan notis pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk (Black Hawk)kepada syarikat yang sebelum ini menang tender sewaan berkenaan.

Mohamed Khaled dilaporkan berkata, tindakan itu selepas syarikat terbabit gagal memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan walaupun sudah dilanjutkan hingga akhir Oktober lalu.

MINDEF dilaporkan akan menilai secara menyeluruh perjanjian pajakan empat helikopter Black Hawksebelum membuat keputusan sama ada membatalkan kontrak atau memberikan masa tambahan kepada pembekal.

Mei tahun lalu, MINDEF memeterai kontrak sewaan empat helikopter berkenaan dengan syarikat tempatan Aerotree Defence and Services selama lima tahun bernilai RM187 juta.

Di bawah perjanjian itu, helikopter pertama sepatutnya dihantar pada November tahun lalu, tetapi tarikh akhir itu ditunda ke April tahun ini.-BH Online