LIMA, PERU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Laporan Tahunan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) akan diberi perhatian penuh dan diteliti dengan sebaik mungkin sebagai input penting bagi siri perbincangan dasar sepanjang Minggu Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) yang berlangsung di sini.
Laporan berkenaan diserahkan kepada Perdana Menteri oleh Pengerusi ABAC Malaysia, Datuk Ruben Emir Gnanalingam, sejurus selepas Anwar mempengerusikan mesyuarat pra-majlis sebaik tiba di Lima dari Kaherah, Mesir.
Mesyuarat itu dijalankan bagi menyelaras dan mempersiapkan agenda perbincangan sebelum acara utama AELW bermula.
Anwar berkata, laporan itu mencerminkan aspirasi dan kepentingan sektor perniagaan di Ekonomi Asia Pasifik, khususnya dalam menyokong agenda pertumbuhan inklusif.
“Tujuan utama laporan ini adalah untuk memberi manfaat kepada rakyat, memperkukuh daya saing perniagaan, serta meningkatkan kemakmuran serantau,” jelas Perdana Menteri menerusi perkongsiannya di media sosial.
Beliau menambah, antara aspek penting dalam laporan itu ialah cadangan bagi meningkatkan daya tahan ekonomi rantau ini melalui dasar yang inklusif dan mampan.
Inisiatif itu, katanya, akan membantu negara-negara APEC menghadapi cabaran ekonomi global dengan lebih berkesan.
Pada 15 November ini, Perdana Menteri dijadualkan untuk menyertai Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama ABAC.
Sesi dialog terbabit dijangka menjadi platform penting untuk berkongsi pandangan dan membincangkan dasar yang boleh mendukung pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh di rantau ini.
Ruben yang bertindak sebagai moderator bagi sesi itu, akan disertai oleh pemimpin utama seperti Presiden Vietnam, Lurong Churong, bersama wakil ABAC dari negara seperti Vietnam, Kanada, Papua New Guinea dan Russia.
Kehadiran pemimpin ini melambangkan komitmen negara-negara APEC terhadap kerjasama ekonomi serantau.
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan bahawa Malaysia akan terus komited dalam menyokong inisiatif yang dapat memperkukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan di kalangan negara-negara APEC.
Usaha ini selari dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi rakan strategik utama dalam rangkaian ekonomi serantau.
Perdana Menteri juga percaya bahawa kerjasama yang erat dalam kalangan negara APEC akan menjadi kunci bagi memastikan rantau ini mampu menangani cabaran masa depan, termasuk isu perubahan iklim dan ketidaktentuan ekonomi global.
Anwar menyeru semua pemimpin APEC agar bersatu dalam menjayakan agenda inklusif ini, yang dilihat penting untuk memastikan kesejahteraan rakyat di seluruh rantau Asia Pasifik.-BH Online