TANAH MERAH: Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan pembinaan tembok sempadan Malaysia-Thailand, di negeri ini.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari, berkata sebarang tindakan pada masa akan datang perlu diputuskan oleh MKN.
Katanya, ia berikutan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang turut menjaga keselamatan sempadan mempunyai pandangan tertentu berhubung pembinaan tembok sempadan.
“Saya fikir perkara ini perlu diselaraskan melalui MKN. Melihat kepada kejayaan rampasan, berdasarkan maklumat yang sedia ada ini, langkah ke hadapan di bawah MKN itu harus diputuskan.
“Dari sudut Kementerian Pertahanan menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kita akan laksanakan tanggungjawab yang sudah diamanahkan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Veteran Desa Madani Peringkat Daerah Tanah Merah, di Sekolah Kebangsaan (SK) Bechah Laut, di sini hari ini.
Adly berkata, penugasan ATM di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini bermula dari Rantau Panjang sehingga ke Jeli.
Katanya, ia meliputi 75 peratus kawasan sempadan bermula dari Pengkalan Kubor (Tumpat) sehingga ke Jeli.
“Kita ada 11 pos kawalan keselamatan di bawah tanggungjawab ATM. Bagi melancarkan penugasan kita sentiasa bertukar-tukar maklumat dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang turut mengawal keselamatan sempadan,” katanya.-BH Online