Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan pintu rundingan memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan bagi Ahli Parlimen pembangkang sudah ditutup

Katanya, pembangkang sudah menolak ‘pinangan’ dan kerajaan tidak akan ‘merujuk’.

“Kalau orang dah tolak ‘pinangan’, tak akan nak ‘rujuk’, malulah,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran sambutan Bulan Integriti Nasional 2024 di bangunan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), hari ini.

Pembangkang sebelum ini sebulat suara menolak MoU atas empat sebab utama iaitu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana beberapa syarat dikenakan dalam dokumen dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Malah pembangkang menyifatkan MoU itu turut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama kerana draf MoU itu mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral agama serta tempatan.

Sehari kemudian, Fadillah tampil mendedahkan dua draf sebenar dokumen yang masih menjadi kontroversi itu.

Berdasarkan dokumen yang didedahkan itu, enam intipati tersebut antaranya tempoh kuat kuasa dari tarikh MoU dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen ke-15 atau pada 19 Disember 2027.

Turut terkandung dalam intipati itu ialah obligasi PN yang menyentuh peranan dan fungsi ahli Parlimen pembangkang sebagai komponen penting dan akujanji sebagai wakil rakyat berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina.-Harian Metro Online