Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata rundingan untuk membentuk kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah masih terbuka kepada mana-mana parti atau gabungan politik.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata ketetapan berkenaan dibuat selepas mengambil kira tempoh akhir pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hanya akan berlaku pada Oktober 2025.

Bagaimanapun, katanya, asas pembentukan Kerajaan Perpaduan iaitu memperkukuh kolaborasi BN dan Pakatan Harapan (PH) menjadi keutamaan gabungan itu bagi menempuhi PRN17 Sabah kelak.

“Tempoh terakhir bagi PRN17 Sabah adalah Oktober 2025 dan ada waktu lagi. Kita sebenarnya tidak menutup pintu untuk kerjasama dengan gabungan mana-mana parti sekali pun.

“Seperti dinyatakan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku pengerusi gabungan parti dalam kerajaan Perpaduan bahawa asasnya ialah kolaborasi antara PH dan BN.

“Perkara ini perlu diperkukuh di peringkat Pusat dan negeri dan inilah juga yang akan berlaku di Sabah. Ini adalah keputusan yang kita buat dalam Mesyuarat Sekretarian Kerajaan Perpaduan, baru-baru ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengenai kesediaan BN negeri itu bergerak solo pada PRN17 Sabah dengan tindakan itu akan diambil jika tiada kesepakatan kerjasama dicapai dengan parti lain.

Semalam, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pula dilapor menubuhkan jawatankuasa bagi membincangkan kerusi bakal ditandingi parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN17 Sabah.

Jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan Timbalan Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Masidi Manjun.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyifatkan kenyataan Timbalan Pengerusi AMANAH Johor, Dzulkefly Ahmad yang tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara PH dan BN pada PRN16 negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, sebagai pandangan peribadi.

“Saya sudah menyatakan, selagi Pengerusi, Presiden atau Setiausaha Agung mana-mana parti (dalam Kerajaan Perpaduan) belum dan tidak mengeluarkan kenyataan (mengenai PRN16 Johor).

“Maka, kita anggap kenyataan (pemimpin selain Pengerusi, Presiden atau Setiausaha Agung mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan) adalah (pandangan) peribadi dan bukan dasar kepada parti,” katanya yang juga Timbalan Perdana Menteri.-BH Online