Pasukan petugas khas telah ditubuhkan untuk menyiasat insiden renjatan elektrik yang mengakibatkan kematian seorang remaja lelaki di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata pasukan itu terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia.
Ia bagi memastikan insiden seperti itu tidak berulang, selain menjamin keselamatan penumpang.
“Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden renjatan elektrik itu. Saya telah mengarahkan APAD untuk menggantung operasi bas terbabit serta merta untuk siasatan lanjut oleh pihak JPJ.
“Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.-Berita RTM