KUALA LUMPUR: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) kesal dengan kenyataan terbuka ahli akademik yang mempertikaikan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan, baru-baru ini.
Ketua Pengarahnya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Azam Mohamed Adil, berkata ini berikutan kenyataan ahli akademik terbabit dikeluarkan tanpa menjaga batas kehormatan terhadap institusi pentadbiran agama.
Beliau juga menyifatkan saranan ahli akademik yang hanya berdasarkan perbezaan pandangan itu adalah tindakan terburu-buru dan boleh menjejaskan kredibiliti institusi pentadbiran agama serta melangkaui adab dan tatasusila kesopanan.
Mohamad Azam juga menasihatkan supaya ahli akademik terbabit memohon maaf di atas keterlanjuran beliau, selain menegaskan kepentingan menghormati institusi pentadbiran agama dan proses perundangan yang sedang berjalan.
“IKIM memahami RUU Mufti Wilayah Persekutuan telah menimbulkan perdebatan dan perbezaan pendapat. Namun, penting untuk semua pihak mengamalkan sikap terbuka dan berbincang secara berhemah untuk mencari penyelesaian terbaik.
“IKIM percaya, Mufti Wilayah Persekutuan sebagai pihak berautoriti dalam hal ehwal agama sudah memberikan penjelasan komprehensif terhadap isu dibangkitkan.
“IKIM juga meminta semua pihak menghentikan sebarang spekulasi dan provokasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
“Marilah kita bersama-sama mengekalkan kehormatan institusi pentadbiran agama, menjaga keharmonian dan kestabilan negara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kelmarin, portal media dalam talian melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar disaran supaya diganti dengan tokoh lain, bertujuan menangani kemelut RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dengan lebih baik.
Ia dikemukakan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Quran dan Sunnah Abdul Hamid A Abu Sulayman Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin.
Malah Abu Hafizjuga menyarankan kerajaan perlu memberi pertimbangan kepada cadangan supaya seorang tokoh ‘lebih baik’ dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, Mohamad Azam meminta semua pihak yang memerlukan penjelasan lanjut berkenaan RUU Mufti Wilayah Persekutuan untuk merujuk penjelasan terkini Mufti Wilayah Persekutuan dalam slot Analisis TV AlHijrah pada 29 Oktober lalu.-BH Online