IPOH: Hal ehwal perkampungan India di seluruh negara kini dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Menteri, Nga Kor Ming berkata ketetapan itu dibuat oleh Jemaah Menteri susulan perjumpaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 47 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) India, baru-baru ini.
Kerajaan juga memperuntukkan RM10 juta bagi pembinaan jalan, parit, longkang, dewan orang ramai, taman awam MADANI serta penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di perkampungan India.
“Struktur kita begini, kampung tradisi Melayu di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang dijaga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Kampung Baru Cina dan perkampungan India pula dijaga KPKT.
“Maknanya untuk pastikan kaum India rasa ada sense of belonging (perasaan diterima dan terhubung dalam komuniti).
“Mereka juga diberi kemudahan asas supaya perkampungan yang didiami lebih selamat, selesa dan berdaya huni selaras aspirasi Malaysia MADANI yang didasari hormat serta ihsan,” katanya pada Malam Media sempena Sambutan Deepavali, malam tadi.
Kor Ming menjelaskan, sebelum ini tiada mana-mana kementerian yang ditugaskan menjaga perkampungan India, maka penstrukturan baharu itu bertepatan dengan prinsip keadilan sosial bagi memastikan tiada rakyat tertinggal dan terpinggir.
Bagi konteks di Perak, beliau berkata, terdapat tujuh perkampungan India sudah dikenal pasti termasuk di Buntong, Sungkai dan Hilir Perak.
“Selain itu, ada tujuh lagi diletak dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) namun belum diiktiraf.
“Oleh kerana itu, selepas keputusan Jemaah Menteri, maka KPKT akan bincang dengan kerajaan negeri Perak supaya tujuh lagi yang masih belum diiktiraf ini boleh diiktiraf dan diberikan peruntukan secara berkala,” katanya.-BH Online