Perdana Menteri yakin, negara ini akan mampu dilonjakkan ke tahap yang lebih baik melalui kestabilan politik.
“Melalui kebijakan ekonomi yang jelas seperti yang dicerakinkan dalam Ekonomi Madani, saya amat yakin negara ini mampu dilonjak ke tahap yang lebih baik.
“Lantaran itu Kerajaan Perpaduan komited memanfaatkan kestabilan politik dalam menjelmakan tatanan yang bermaruah dengan pengemudian yang jelas mengangkat darjat ekonomi rakyat,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bercakap di Tanjung Sepat semalam.
Beliau berkata, negara ini negara yang kaya dengan khazanah dan bukan untuk dibolot elit penguasa.
“Rakyat terbanyak mesti menikmatinya dengan saksama,” katanya.
Rakyat pelbagai kaum memenuhi dewan bagi mendengar pesan dan amanat dari PMX itu.
PM Anwar ke Tanjung Sepat selepas bertemu dengan pelbagai pihak di Morib.
Semasa bertemu rakyat di Dun Morib, Parlimen Kuala Langat malam tadi, PM Anwar membawa mesej yang jelas bahawa kita kini di landasan serta jalur yang tepat membawa perubahan.
Ia berlaku tatkala minat yang dipaculkan gergasi kenderaan elektrik Tesla dan Geely untuk membawa pelaburan berdampak tinggi yang pastinya memanfaatkan golongan muda.
“Atas dukungan kuat teman-teman di dalam Kerajaan Perpaduan, kita kini beroleh kestabilan yang mampu memungkinkan pemacuan ekonomi yang bermakna untuk rakyat dan negara,” kata beliau.
Beliau meminta semua pihak jangan pedulikan cercaan dari pihak yang suka mencela.
“Pedulikan setiap cercaan mereka tapi kita mesti kekal istiqomah bekerja membetulkan kepincangan, menerap budaya dan politik nilai serta melonjak negara ke arah yang bermaruah dan madani,” kata beliau.