Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TANJUNG MALIM: Program ‘AI 4 Belia’ anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertujuan memperkasakan golongan berkenaan dengan kemahiran teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menghadapi cabaran pasaran pekerjaan masa hadapan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata program julung kali itu adalah inisiatif MOSTI untuk membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

“Penyertaan aktif belia dalam inisiatif sebegini (AI 4 Belia) langkah penting dalam mempersiapkan diri mereka menghadapi cabaran masa hadapan terutama dalam sektor pekerjaan berteknologi tinggi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program ‘AI 4 Belia’ di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Tanjung Malim adaah stesen pertama program itu dan sambutan dilihat memberangsangkan dengan pembabitan 100 peserta dalam program kerjasama bersama UPSI dan Syarikat Pixlr itu.

“Belia adalah pelapis membangunkan Malaysia pada masa akan datang, yang juga perintis kepada pekerjaan masa hadapan dalam bidang seperti kejuruteraan kecerdasan buatan, robotik, anggota keselamatan maya, teknologi rantaian blok dan sebagainya.

“Penggunaan AI dilihat dapat membantu belia yang berminat untuk meneruskan kerjaya sebagai usahawan inovasi atau teknousahawan.

“Ia kerana AI membantu belia yang terbabit dalam perniagaan untuk menganalisis data, merancang pemasaran produk dan mengoptimumkan operasi dengan sumber sedia ada,” katanya.

Lih Kang berkata, pihaknya percaya dengan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran belia mengenai AI secara berperingkat, generasi muda Malaysia akan lebih bersedia mendepani cabaran teknologi masa hadapan.

“Hasilnya, belia kita bukan sahaja akan menjadi pengguna AI yang bijak, tetapi juga peneraju dalam mencipta inovasi yang memanfaatkan kemajuan teknologi ini untuk pembangunan negara.

“Ini seiring dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara pembangun teknologi utama menjelang 2030,” katanya.

Pada majlis itu turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara UPSI yang diwakili Dekan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Prof Madya Dr Maizatul Hayati Mohamad Yatim, dengan Syarikat Pixlr diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Warren Leow. – BERNAMA