Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA: Permohonan lesen perniagaan yang dianggap berisiko rendah di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diproses dalam tempoh 24 jam bermula tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dengan lesen berisiko rendah antara lain termasuklah premis medan selera, kedai serbaneka, premis perniagaan atau pejabat.

Sebelum ini, peniaga yang ingin memohon lesen perlu menunggu antara tujuh hingga 14 hari daripada tarikh permohonan untuk PBT mengeluarkan lesen premis dan papan tanda.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata melalui inisiatif itu permohonan dihantar pada waktu pagi boleh diluluskan PBT berkaitan pada sebelah petang hari sama, atau dalam tempoh 24 jam.

“Justeru, pemohon boleh menyemak dokumen mereka secara dalam talian dan jika semuanya lengkap, mereka boleh mencetak lesen pada sebelah petang.

“Lesen berisiko rendah merangkumi perniagaan kecil seperti kedai serbaneka dan gerai makanan, yang mana kita sudah menetapkan tempoh pemprosesan yang cepat,” katanya. 

PBT telah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya memendekkan tempoh kelulusan permit perniagaan kecil dan memberikan kelonggaran kepada syarat sedia ada sekiranya perlu.

Inisiatif ini termasuk memanjangkan tempoh masa berniaga, bilangan hari berniaga dan menambah petak penjaja serta menguatkuasakan pengeluaran dan pemantauan lesen dan permit perniagaan kepada warganegara Malaysia sahaja.

Mulai 2024, KPKT memperkenalkan Garis Panduan Sistem Pusat Memudahcara Pelaksanaan (OSC) Pelesenan PBT bagi menyeragamkan proses, dokumentasi, prosedur permohonan serta kelulusan lesen di peringkat PBT.

Garis panduan ini yang disediakan bersama dengan Sistem OSC Pelesenan PBT bakal menyeragamkan proses dokumentasi dan tempoh kelulusan PBT bagi Lesen Tidak Berisiko seperti lesen perniagaan kedai runcit, penjaja dan pejabat dalam tempoh tidak lebih daripada 24 jam.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata inisiatif digerakkan itu selaras visi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memudahkan urusan perniagaan.

Untuk rekod, lesen perniagaan di bawah PBT dibahagikan kepada dua kategori iaitu berisiko rendah dan berisiko tinggi. Lesen perniagaan berisiko tinggi seperti kelab malam, rumah mayat, bilik bedah haiwan serta yang memerlukan pemeriksaan tambahan akan mengambil masa sehingga 30 hari. 

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, tempoh untuk perniagaan berisiko tinggi turut dipendekkan kepada 14 hari dengan syarat semua keperluan sudah dipenuhi. 

“Bagi kelulusan pembangunan, yang amat penting, matlamat kami adalah untuk mempercepatkan proses supaya setanding atau melebihi negara jiran. 

“Selain itu kita turut mempermudahkan pemohon dengan mengurangkan bilangan dokumen diperlukan kepada empat jenis sahaja dan kami menyisihkan dokumentasi secara manual dan surat-menyurat iaitu ulasan dan penilaian teknikal semasa atau selepas lawatan tapak dilaksanakan secara dalam talian.

“Di samping itu, kementerian kini bergerak ke arah mentransformasikan pengurusan hal ehwal pelesenan oleh Bahagian Pelesenan PBT dan Jabatan/ Agensi Teknikal untuk memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan permohonan lesen serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan, ” katanya.

Kata beliau, garis panduan dan Sistem OSC Pelesenan PBT diwujudkan berlandaskan Akta Kerajaan Tempatan 1976 akan diguna pakai semua PBT di Semenanjung terlebih dahulu dan akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak kemudian.-BH Online