Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Kerajaan Perak mengarahkan semua pihak berkaitan seperti pegawai daerah, ketua kampung, dan jabatan kerajaan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan bencana banjir pada hujung tahun ini yang dijangka menyamai banjir besar pada 2014.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata tindakan itu susulan kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) berhubung cuaca tidak menentu sehingga hujung tahun ini, sekali gus meminta semua pihak berwaspada dengan perubahan berkenaan.

“Saya baca laporan MetMalaysia meminta semua orang berwaspada sehingga hujung tahun sebab fenomena banjir kali ini mirip seperti berlaku pada 2014. 

“Banjir pada 2014 berlaku serentak, tetapi kali ini berlaku berulang-ulang di tempat sama dan tempat baharu,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-48 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun serta Pengerusi PPN Perak, Datuk Sham Mat Sahat.

Saarani berkata demikian ketika mengulas banjir gelombang kedua yang melanda kawasan Sungai Siput hingga memaksa ratusan mangsa berpindah, baru-baru ini.

Beliau berkata, penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Perak dan anak sungai atau saliran termasuk dalam bandar perlu sentiasa berwaspada memantau keadaamn cuaca bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, setakat jam 12 tengah hari tadi, seramai 1,330 mangsa daripada 424 keluarga di lima daerah dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS).

Kawasan Sungai Siput dalam daerah Kuala Kangsar paling teruk terjejas dengan mencatatkan 911 mangsa (284 keluarga) berlindung di tiga PPS.

Ia diikuti daerah Hilir Perak (170 mangsa), Perak Tengah (133 mangsa), Kerian (75 mangsa) dan Kampar (41 mangsa).-BH Online