KUALA LUMPUR: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dilantik sebagai Media Rasmi dan Penyelaras Pusat Media Antarabangsa bagi Sidang Kemuncak ASEAN 2025, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Mengumumkan perkara itu menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pula dilantik sebagai penyiar rasmi.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia pastinya akan menjadi tumpuan serantau khususnya dan dunia amnya.
“Insya-Allah, kepengerusian kali ini juga bakal membuka pelbagai peluang ekonomi yang besar kepada rakyat,” katanya.
Fahmi berkata beliau dan rakan Jemaah Menteri hari ini menghadiri Mesyuarat Khas Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Bangunan Parlimen di sini.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 yang berlangsung bersama dengan Sidang-Sidang Kemuncak berkaitan dan Majlis Penyerahan Jawatan Pengerusi ASEAN di Vientiane.
Pada majlis itu, Perdana Menteri menerima tukul Kepengerusian ASEAN daripada Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone sebagai simbolik penyerahan jawatan berkenaan.
Anwar turut memperkenal logo dan tema untuk Pengerusi ASEAN Malaysia 2025: ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ pada majlis itu.
Tugas Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bermula secara rasmi pada 1 Januari 2025.-BH Online