Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 11 Oktober- Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperuntukkan RM99 juta daripada program Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi melancarkan inisiatif Perajurit Broadband.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, menerusi inisiatif itu, sebanyak 73 buah kem tentera di seluruh negara akan menerima manfaat menerusi pembangunan infrastruktur gentian optik atau dikenali sebagai Fibre to the Home (FTTH).

Kira-kira 59,420 pintu Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) daripada kem-kem terlibat akan menikmati faedah itu.

“Pakej langganan harga istimewa mampu milik serendah RM49 dengan kelajuan 100 Mbps. Maknanya harga diluar RM80 tetapi bagi anggota tentera kita menawarkan harga istimewa serendah RM49.

“Jadi ini semua disediakan oleh kerajaan sebagai satu pengiktirafan kepada kesetiaan dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan selaku perajurit kepada tanah air dan perwira kepada negara dalam menjaga keselamatan dan pertahanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) di Auditorium Kementerian Pertahanan (MINDEF) di ibu negara.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, MoU yang dimeterai antara Kementerian Komunikasi dan MINDEF itu meliputi aspek peningkatan kesalinghubungan infrastruktur dan perkhidmatan jalur lebar gentian optik, perkongsian maklumat dan data, pelaksanaan latihan, serta program-program kesedaran dan pembangunan insan.-Berita RTM