Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

VIENTIANE, Laos: ASEAN perlu terus kekal sebagai blok berkecuali, berdagang dan mempunyai hubungan baik dengan dengan semua negara bagi memastikan blok serantau itu terus berdaya tahan dalam berdepan isu ketidaktentuan geopolitik serta ekonomi dunia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata ASEAN perlu memastikan isu keterangkuman dan kemampanan di rantau ini lebih jelas supaya pelaburan dapat ditingkatkan, yang ketika ini sedang menunjukkan trend positif.

Sekretariat ASEAN bentang risiko geopolitik

Tengku Zafrul berkata, pada Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) Ke-24 yang dihadirinya semalam, Sekretariat ASEAN turut membentangkan risiko yang dihadapi ASEAN akibat isu geopolitik dan ekonomi dunia ketika ini.

“Justeru, penting untuk kita terus menjadi blok berkecuali dan kita berdagang serta berkawan dengan semua negara, termasuk Eropah, Barat dan China, malah Russia dan BRICS. 

“Pada masa sama, pertumbuhan ekonomi dunia nampaknya lebih perlahan daripada yang dijangkakan dan yang positifnya, Sekretariat ASEAN memaklumkan, ASEAN masih lagi menerima pelaburan tertinggi, berbanding tahun lalu dan sebelumnya, jika dibandingkan dengan pelaburan langsung asing (FDI) global yang menurun.

“Selain itu, mengenai isu perlindungan dari segi tarif, yang mungkin digunakan untuk melindungi sesetengah pasaran dan itu satu lagi pentingnya ASEAN untuk terus bersama, berbincang dengan blok lain, terutama platform pelbagai hala, seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.

Malaysia umum Pelan Strategik AEC

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia akan mengumumkan mengenai Pelan Strategik AEC 2026-2030 ketika mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei tahun depan. 

Katanya, selaras dengan Visi Komuniti ASEAN 2045, pelan setiap lima tahun itu perlu relevan dengan pelan ekonomi semasa dan trend besar global dunia, terutama perang dagang antara China dan Amerika Syarikat (AS) serta isu geopolitik lain. 

“ASEAN adalah rantau yang sangat kompetitif dan jika kita bertumbuh empat hingga lima peratus pada 2030, kita akan menjadi blok ekonomi keempat terbesar dunia, berbanding kelima ketika ini. 

“Justeru, kita perlu memberi fokus kepada agenda pasca 2025. Kita perlu memperkuatkan ASEAN dan pelan tindakan unik kita sebagai sebuah blok,” katanya. 

Tumpuan memperkasa perdagangan ASEAN

Mengenai isu yang dibincangkan pada Mesyuarat AEC, Tengku Zafrul berkata, antara yang menjadi tumpuan adalah usaha memperkasa perdagangan antara ASEAN dan di luar ASEAN serta keutamaan kepada ekonomi kecil dan sederhana (PKS) yang mencecah 90 peratus di rantau ini. 

Mesyuarat AEC Ke-24 diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung selama tiga hari bermula esok. 

Pada Jumaat ini, Laos secara rasmi akan menyerahkan jawatan pengerusi ASEAN kepada Malaysia.-BH Online