Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan hak Malaysia untuk menjalinkan hubungan dan berurusan dengan pelbagai rakan global, termasuk Russia, sambil mengekalkan pendirian seimbang mengenai isu antarabangsa.

Perdana Menteri dalam satu wawancara dengan CNBC berkata, mana-mana negara tidak sepatutnya menentukan apa yang terbaik untuk negara lain, dan Malaysia sebagai negara perdagangan mengalu-alukan pelaburan dari seluruh dunia.

Menjawab soalan mengenai hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS dan persepsi terhadap hubungan semakin erat dengan Russia, Anwar berkata, beliau bertemu Presiden Russia, Vladimir Putin, di Vladivostok, baru-baru ini, memandangkan Russia kini adalah Pengerusi organisasi antara kerajaan yang terdiri daripada 10 negara anggota itu.

“Saya pergi ke Vladivostok untuk menyampaikan minat kami menjadi sebahagian daripada BRICS, dan meneruskan perdagangan serta pelaburan dalam bidang yang tidak menjadi pertikaian. Saya tidak nampak sebarang sebab mengapa kami tidak patut berbuat demikian.

“Malaysia adalah sebuah negara perdagangan, dan kita mengalu-alukan pelaburan dari seluruh dunia. Saya tidak seharusnya mendiskriminasi mana-mana negara lain,” katanya.

Malaysia telah memohon untuk menyertai BRICS pada Julai lalu.

Sokongan lantang Anwar kepada Palestin dan kritikannya terhadap tindakan Israel di Gaza turut menjadi fokus dalam temu bual berkenaan.

Beliau mempersoalkan sikap berat sebelah masyarakat antarabangsa, melalui perbandingan sokongan ketara terhadap Ukraine dengan kekurangan tindakan tegas untuk menghentikan keganasan di Gaza.

“Mengapa kita bercakap mengenai demokrasi serta hak asasi manusia jika kita membiarkan kekejaman dan genosid berlaku setiap hari?” soal Anwar.

Perdana Menteri turut mengkritik sokongan kewangan yang diberikan kepada Ukraine oleh Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Eropah.

Beliau berkata, walaupun kenyataan dibuat untuk menyeru pemberhentian serangan di Gaza, tiada usaha sebenar dilakukan.

“Saya perlu bersuara. Malah di Ukraine. Saya telah menyatakan dengan jelas bahawa saya tidak menyokong pencerobohan di Ukraine tetapi Ukraine menjadi isu besar di AS dan Eropah, namun di sini (Gaza) mereka membelanjakan berbilion untuk membunuh.

“Kepura-puraan ini perlu berakhir,” katanya. – BERNAMA