Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Johor Corporation (JCorp), melalui anak syarikatnya JLand Group (JLG), semalam secara rasmi melancarkan operasi kontenanya di Pelabuhan Tanjung Langsat yang merupakan satu pencapaian penting yang

bakal mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri minyak, gas dan logistik di persana global.

Pembangunan ini menandakan satu lagi langkah penting yang telah diambil dalam mentransformasikan ekonomi negara selari dengan matlamat Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bakal merangsang pertumbuhan di wilayah selatan Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kepakaran Pelabuhan Tanjung Langsat dalam mengendalikan kargo pukal, separa pukal dan cecair, terutamanya dalam sektor petroleum dan minyak boleh dimakan, telah menjadikannya sebagai teras rangkaian logistik dan rantaian bekalan Johor.

Beliau berkata, Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat (TLIC) telah menarik pelaburan sebanyak RM34 bilion dan mewujudkan lebih 15,500 pekerjaan. 

“Pada tahun 2023 secara khususnya, Johor telah berjaya memperoleh pelaburan bernilai RM43.1 bilion yang mana telah menghasilkan lebih daripada 19,000 pekerjaan, membuktikan kelebihan strategik dan kekuatan industri negeri ini,” katanya berucap merasmikan operasi kontena JCorp di Pelabuhan Tanjung Langsat.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong; Pengerusi Lembaga Pelabuhan Johor, Rosnan Fathlal dan Pengarah Eksekutif TLP Terminal Sdn Bhd, Datuk Shahrull Allam Shah Abdul Halim.

Loke turut mengucapkan tahniah kepada JCorp atas rancangan mereka untuk meningkatkan kemampuan TLIC serta membangunkan kawasan perindustrian baharu di bahagian timur Johor.

“Dengan langkah yang diambil ini, peluasan TLIC bakal meningkatkan jumlah kontena secara signifikan dan menjadikan Pelabuhan Tanjung Langsat sebagai pintu masuk utama bagi industri dalam kawasan TLIC dan kawasan sekitarnya,” katanya.

Loke turut menegaskan rancangan Pelabuhan Tanjung Langsat untuk memperluaskan kemudahan kontenanya bagi memenuhi permintaan masa hadapan dan menarik perniagaan baharu, sekali gus mengukuhkan peranan pelabuhan dalam memacu pertumbuhan ekonomi Johor. 

Beliau juga menekankan kepentingan meningkatkan produktiviti dan menyediakan peralatan yang sesuai bagi memenuhi keperluan industri dengan cekap. 

Kementerian Pengangkutan, katanya turut menyokong sepenuhnya usaha Pelabuhan Tanjung Langsat dalam meningkatkan kemudahan kontenanya bagi mengendalikan jumlah kargo yang dijangka akan meningkat di kawasan ini.

“Melangkah ke hadapan, Tanjung Langsat bersedia memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada syarikat multinasional. 

“Dengan kemudahan kontenanya, Pelabuhan Tanjung Langsat memainkan peranan penting dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang bakal menyumbang kepada peningkatan ekonomi serantau,” katanya.

Pelabuhan Tanjung Langsat juga sedang membangunkan pelabuhan kontena ketiga di Johor bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada syarikat multinasional. 

Inisiatif ini akan melengkapkan pelabuhan yang sedia ada dalam menyumbang kepada pelan ekonomi negeri Johor untuk menarik pelaburan, mewujudkan peluang perniagaan serta pekerjaan tambahan untuk komuniti tempatan.-BH ONLINE