Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sindrom kebergantungan berterusan dalam kalangan golongan rentan terhadap bantuan kerajaan perlu ditangani sebaik mungkin dan tidak wajar dibiarkan berterusan. 

Perdana Menteri berkata, kebergantungan berterusan bukan penyelesaian mutlak khususnya dalam memerdekakan ekonomi mereka daripada kelompok miskin tegar.

“Kadang-kadang pelaksanaan dasar itu baik, kita bantu, tapi ia tidak membantu memerdekakan mereka (daripada miskin tegar) dalam ekonomi. 

“Bantu sekadar hidup kemudian kekal bergantung kepada penguasa.

“Penguasa juga (berasakan) dari segi faedah politiknya ada, kerana (membiarkan) orang ini hanya akan bergantung dengan kita. Penyelesaian masalah ekonomi ini sepatutnya membebaskan, bukan terus bergantung,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Peluncuran Simposium Kebangsaan Menoktah Kemiskinan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Hadir sama, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli. 

Dengan segala bentuk sokongan diberikan dan dana disalur kerajaan, Anwar berkata, tiada alasan untuk negara menyelesaikan masalah miskin tegar dalam tempoh singkat.

Simposium sehari itu mengetengahkan perbincangan mengenai beberapa isu utama seperti konsep dan pendekatan menoktah kemiskinan, keperluan pembiayaan dan keberkesanan tatakelola bagi mencari penyelesaian terbaik yang boleh dipertimbang kerajaan. 

Ia membabitkan empat sesi diskusi membariskan tokoh dan pakar daripada sektor kerajaan, swasta, akademik, pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil

Dengan segala bentuk sokongan diberi dan dana yang disalur kerajaan, Anwar menegaskan, tiada alasan untuk negara menyelesaikan masalah miskin tegar dalam tempoh singkat.

Perdana Menteri berkata, kerajaan membelanjakan antara RM20 bilion hingga RM22 bilion setahun untuk program dan inisiatif membasmi kemiskinan, namun dana besar yang diagih ada kalanya tidak disalur secara praktikal.

“Saya hadir dalam seminar Khazanah Nasional yang mana salah seorang sarjana memberitahu, kalau dana itu tidak diturunkan melalui agensi, diberikan langsung kepada setiap orang miskin, tidak ada masalah kita selesaikan kemiskinan tegar.

“Sekarang dana RM20 bilion (disalur) kepada semua agensi. Ada kalanya tidak praktikal. Kita perlu memikir semula pendekatan kita. Dananya terlalu banyak. Ada agensi untuk bantu rakyat miskin, 80 peratus digunakan untuk belanja pengurusan, 20 peratus untuk disalur kepada yang paling miskin.

“Ada agensi tumpuannya untuk bantu golongan rentan dan miskin, tapi puluhan dana tiap kali bila ada acara di luar negara dibelanjakan.

“Sebab itu kita keras hari ini kerana ia sudah jadi budaya. Salah tetap salah, dia kena ikut peraturan, ada prosedur,” katanya. 

Justeru, Anwar mahu dalam seminar dan simposium yang dianjurkan seperti itu, harus disinggung hal-hal sedemikian supaya ia menjadi pengajaran dan budaya baharu kepada semua. 

“Itu sebabnya pemantauan harus dilakukan. Saya harap dalam seminar seperti ini hal-hal ini dibicarakan. Kalau tidak setiap kali diminta peruntukan, mana negara mampu beri peruntukan yang lebih.

“Apa yang tidak dibicarakan, peruntukan kepada jabatan dan agensi yang bocor dan tiris. Sebab itu, memerangi rasuah dan penyelewengan itu jangan dipandang remeh,” katanya.-BH Online