KLANG: Kerajaan menyedari keluhan banyak pihak mengenai langkah penyasaran semula subsidi negara, namun kefahaman dalam kalangan rakyat mesti dipertingkat untuk mengelak amalan lama mengagih subsidi kepada golongan kaya dan warga asing diteruskan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dasar penyasaran subsidi yang mula dilaksanakan contohnya ke atas diesel dan elektrik, dibuat selepas kerajaan meneliti wujudnya kebocoran serta ketirisan dalam agihannya.
“Sebab itu kadang-kadang langkah ini kena faham terutama (dalam kalangan) pemimpin masyarakat. Saya nak beritahu, rakan-rakan Jemaah Menteri semua sepakat dalam hal ini. Semua setuju dengan langkah penyasaran ini.
“(Cumanya) penyasaran subsidi diesel, memang (ada) riuh rendah sidikit. (Namun) adakah kita mahu terus bayar kepada golongan kaya, (saya kata) itu tak boleh. Kita tak boleh ikut langkah lama – yang bocor puluh bilion, yang subsidi diberi kepada orang kaya.
“Diesel, syarikat kaya yang untung RM1 bilion setahun itu kita bayar subsidi. Dia untung bilion, subsidi dari kita. Seramai 3.5 juta orang asing bukan warganegara, tak bayar cukai, kita bagi subsidi diesel. Sebab itu kita hentikan subsidi kepada orang asing dan orang kaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama komuniti setempat dan warga kerja Westport 2 di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari serta Pengerusi Eksekutif Westport Malaysia, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan sedia menerima cadangan dan pandangan mana-mana pihak bagi menambah baik pelaksanaan dasar penyasaran subsidi ini.
“Kalau (rakyat) tak setuju boleh bincang, bagi pandangan. Sama ada mewakili wakil rakyat, pegawai daerah, majlis perbandaran, saya tiada masalah.
“Rakyat yang mengeluh itu memang (ada) masalah dia, (jadi) kita harus dengar. Pemimpin di mana peringkat pun, jangan fikir dia tahu semua perkara. Ada masalah kalau kita tak turun (padang) kita tak (akan) tahu,” katanya.
Mengulas kenaikan harga barang ketika ini, Anwar mengakui perkara itu berlaku, namun kadar kenaikan barang keperluan asas pengguna seperti gula dan beras masih terkawal berbanding kenaikan dicatat di negara ASEAN lain.
“Sebab itu saya kata dalam Belanjawan nanti, saya akan cuba (cari jalan). Tapi naik (harga) pun, contohnya minyak, minyak masak, gula, tepung dan beras, harga kita ini paling rendah di ASEAN berbanding Singapura, Indonesia dan Thailand.
“Jadi berapa kenaikan (inflasi) sekitar dua peratus. Saya bincang dengan (Presiden Russia, Vladimir) Putin, dia tanya berapa inflasi Malaysia, saya kata dua peratus, kadang-kadang tiga peratus, tapi memang beri kesan kepada rakyat yang susah.
“Saya tanya Russia berapa, dia jawab lapan peratus. Saya tanya kawan saya, (Presiden Turkiye Recep Tayyip) Erdogan, dia kata (inflasi di Turkiye) 40 peratus.
“Semua negara jiran (juga) lagi tinggi daripada negara kita (dai segi inflasi), tetapi kita sedar masih perlu ambil langkah untuk kurangkan. Sementara mereka mengeluh, kita cari jalan bagaimana mahu buat,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata ketika ini ada barangan yang masih diberikan subsidi seperti gula dan tepung gandum, biarpun harga import bahan mentahnya sudah meningkat.-BH Online