Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLUANG: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menyelar pihak yang mendakwa kerajaan hanya memberi tumpuan untuk mengayakan kaum Cina.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, bangsa lain seperti Melayu juga mesti mencari jalan bagaimana untuk menjadi lebih baik dari segi kekayaan.

“Orang Melayu misalnya mesti cari jalan bagaimana mereka boleh menjadi lebih baik. Orang Cina yang sudah berjaya pula mesti bantu kaum-kaum lain untuk berjaya.

“Barulah kita dapat membina negara yang aman dan sejahtera seterusnya menjadi negara yang paling hebat di rantau ini,” katanya berucap pada Majlis Kebudayaan Mahkota anjuran Persatuan Tarian Singa Yong An, di sini malam tadi.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Mohamad berkata, kekayaan tidak boleh diperoleh sekiranya negara tidak aman dan rakyat yang berbilang kaum tidak menghormati satu sama lain.

“Masyarakat Cina serta kaum-kaum lain yang kaya banyak membayar cukai, sama ada cukai korporat, cukai syarikat atau cukai pendapatan kepada kerajaan. Cukai itu, kerajaan agih semula kepada rakyat dalam bentuk pembangunan negara.

“Ertinya, semakin ramai rakyat yang kaya, negara juga makin kaya, kerajaan juga akan untung kerana kerajaan dapat guna duit itu (cukai) untuk bawa pembangunan kepada rakyat,” katanya.

Tegasnya, kekacauan politik menyebabkan negara berisiko kehilangan keyakinan pelabur dan menyebabkan ekonomi terbantut, sedangkan protes terhadap kerajaan boleh dibuat melalui peti undi, bukan ditumbangkan di tengah jalan.

“Hari ini, negara kita aman dan kembali stabil, kita dapat lihat bukan sahaja pelabur asing mula datang, malah pelancong luar negara juga semakin ramai khususnya pelancong dari China,” katanya.

Sementara itu, King Sing yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), menegaskan, kepelbagaian dan perpaduan Malaysia mesti dipelihara dan diraikan, manakala pandangan yang melampau wajar ditolak.

Justeru, beliau mengajak pemilik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota memilih calon yang betul sebagai wakil rakyat mereka pada pilihan raya kecil (PRK) Sabtu ini.-BH Online