Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pelaburan digital berjumlah RM185.3 bilion diluluskan dari 2021 hingga Jun 2024 termasuk projek daripada syarikat terkemuka seperti NVIDIA dan Amazon Web Services (AWS), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam hantaran di akaun media sosial X hari ini, beliau berkata melalui inisiatif ‘Pejabat Pelaburan Digital,’ usaha untuk menarik pelaburan dalam bidang digital yang strategik terus diselaraskan.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil.2/2024.

“Saya terus dimaklumkan kemajuan dan pelaporan terkini bagi pelaksanaan Fasa 2 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) dan Dasar 4IR Negara (D4IRN) yang menunjukkan perkembangan positif.

“Antaranya termasuk 21 daripada 25 projek digital kerajaan, yang disasarkan untuk dicapai sehingga 2025, telah diintegrasikan dengan teknologi revolusi industri keempat (4IR),” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, mesyuarat juga telah mengambil maklum mengenai status pelaksanaan rangkaian 5G negara, iaitu antara yang terpantas di dunia, dengan Malaysia mencatatkan 82 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk.

“Namun, saya tegaskan terdapat keperluan untuk memperluaskan lagi perkhidmatan 5G ke seluruh negara dengan keutamaan diberikan di kawasan perindustrian, perkhidmatan kritikal, sekolah dan terutama dalam kalangan institusi pengajian tinggi awam,” kata Anwar.–BERNAMA