Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ayer Keroh: Sasaran menarik antara 15 hingga 18.7 juta pelancong ke Melaka sepanjang penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) hampir pasti menjadi kenyataan apabila kehadiran pengunjung ke negeri itu naik mendadak.

Sehingga bulan lalu, sejumlah 10.16 juga pelancong direkodkan membabitkan peningkatan sehingga 90.62 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 5.33 juta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata banyak faktor yang menjadi punca kepada peningkatan jumlah pelancong berkenaan, termasuk memperkenalkan beberapa program baharu yang memberi manfaat kepada golongan itu termasuk kerajaan negeri.

Katanya, antaranya adalah penyediaan puluhan hadiah lumayan untuk pengunjung menerusi cabutan nama bertuah yang diadakan setiap bulan dengan menawarkan sebuah kereta pelbagai jenama selain hadiah lain seperti motosikal dan barangan eletrik.

“Selain itu, penganjuran program Melaka Bila Larut Malam dengan menggunakan kaedah pengurangan bayaran tiket masuk ke lokasi pelancongan turut menarik perhatian pelancong datang ke Melaka.

“Pelaksanaan program Melaka Zon Bebas Kenderaan (CFZ) di pusat pelancongan Banda Hilir juga menjadi daya tarikan sehingga ia diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai lokasi terpanjang melaksanakan program terbabit,” katanya selepas menyampaikan amanat sempena Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, jumlah peningkatan pengunjung ke Melaka itu pastinya seiring dengan dasar diputuskan kerajaan untuk menyantuni golongan terbabit ketika berada di negeri bersejarah itu.

Katanya, bagi memeriahkan aktiviti pelancongan dan sosioekonomi negeri, kerajaan juga akan memperkenalkan Program Menu RM10 yang akan dilancarkan Ahad ini.

“Banyak premis makanan akan bersama menyertai Program Menu RM10, sekali gus memberi peluang kepada golongan B40 untuk mendapatkan tiket ke pusat pelancongan selain menikmati menu makanan orang Melaka juga pada kadar RM10.

“Saya pasti menerusi beberapa program baharu yang dilaksanakan itu mampu menarik minat pelancong untuk menjadi Melaka sebagai destinasi pilihan pertama untuk bercuti bersama keluarga,” katanya.-Harian Metro Online