Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap projek dalam Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) diterapkan prinsip tatakelola yang tetap, tegas dan tidak bertolak-ansur.

Perdana Menteri berkata, sebarang projek penswastaan perlu mengambil kira tiga perkara utama iaitu kadar upah, perumahan dan aspek pendidikan anak pekerja.

“Apabila kita memulakan penswastaan, kita catat banyak kemajuan tetapi sering kali lupa mengenai kerangka asas dan hala tuju negara.

“Itu sebabnya dalam projek PIKAS ini, mesti diterapkan prinsip tatakelola yang tetap, tegas dan tidak bertolak-ansur (terhadap penyelewengan).

“Mesti juga memikirkan soal keluarga (pekerja syarikat) yang mampu mendirikan syarikat itu, kemampuan keluarga maknanya kadar upah, perumahan dan pendidikan mengikut kadar dan keupayaan syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) 2030 di sini, hari ini.-BH Online