Serdang: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyasarkan RM6 bilion nilai memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) sepanjang penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2024.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Maha 2024 yang berlangsung selama 12 hari bermula 11 September hingga 22 September itu turut menyasarkan RM40 juta nilai jualan langsung,
Menurutnya, pihaknya optimis dan bersiap sedia untuk menerima tiga juta pengunjung disasarkan pada penganjuran kali ini yang juga bersempena 100 Tahun Maha yang bermula sejak 1923.
“Turut menjadi sasaran adalah RM600 juta potensi pembiayaan dan padanan perniagaan melalui jangkaan 4,000 permohonan dengan 10 juta capaian media.
“Menerusi penganjuran Maha 2024, sebanyak lapan fokus utama turut disasarkan,” katanya pada sesi Media Tour Maha 2024 bersama Menteri KPKM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), di sini, hari ini.
Menurutnya, lapan fokus Maha 2024 adalah Sambutan 100 Tahun Maha, Pertanian, Kelestarian, Modal Insan Madani, Teknologi, Agro Pelancongan, Maha Go Global dan Pelaburan.
“Sehingga kini 16 negara telah mengesahkan penyertaan antaranya Jepun, Thailand, Brunei, Indonesia, Hong Kong dan beberapa negara Eropah.
“Maha Go Global bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan perniagaan dalam sektor pertanian dan hortikultur, meningkatkan eksport dan menggalakkan inovasi,” katanya.
Bertema ‘Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom’, Maha 2024 mencerminkan aspirasi dan matlamat KPKM untuk menuai kejayaan di masa hadapan dengan usaha dan inovasi yang diterokai pada hari ini.
Sementara itu, terdapat beberapa tarikan baharu di Maha 2024 iaitu Magical At Night and Water Show, Kids Attraction, Rhythm of Farmers, Agro Fit, Sunflower Garden dan Floating Market.
Turut disediakan ruang glamping, motorhome dan sebagainya.
Maha 2024 turut menampilkan 48 segmen menarik membabitkan aktiviti pameran dan jualan meliputi seluruh ekosistem berkaitan rantaian nilai agromakanan.
Terdapat 13 pavilion negeri dengan masing-masing mempunyai reka bentuk yang unik mengikut ciri-ciri kenegerian.
Melangkaui satu abad, Maha menjadi pameran sektor pertanian yang sentiasa dinanti kerana membawa elemen teknologi terkini dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.-Harian Metro Online