VLADIVOSTOK: BRICS adalah mekanisme penting untuk mengurangkan kebergantungan negara-negara terhadap mata wang dolar, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu wawancara bersama agensi berita Russia RIA Novosti dan penyiar RT, lapor Sputnik.
“Isu penggunaan mata wang tempatan yang kami lakukan sebelum ini dengan China, Indonesia dan sehingga ke tahap tertentu dengan Thailand, kini dibincangkan dengan India.
“Kami masih bergantung kepada dolar, tetapi sekurang-kurangnya untuk mengurangkan impaknya, kami perlu melakukannya. Dan BRICS tentunya merupakan satu lagi mekanisme untuk mencapai tujuan itu,” kata Anwar di luar sidang Forum Ekonomi Timur (EEF).null
BRICS, adalah penting untuk mengukuhkan kerjasama dalam kalangan negara-negara di Global South serta membendung tekanan dari negara-negara perindustrian yang kaya, kata Anwar.
“Kami sangat menghargai hakikat bahawa Presiden (Vladimir) Putin secara rasmi menjemput saya untuk menghadiri mesyuarat BRICS di Kazan bulan depan.
“Dasar kami sudah tentunya untuk memperkukuh Global South. BRICS adalah mekanisme yang sangat penting untuk memperkukuh kerjasama seperti itu dalam kalangan negara-negara di Global South.
“Bukan untuk mencetuskan permusuhan, tetapi sekurang-kurangnya membendung tekanan dari negara-negara perindustrian yang lebih kaya selain membina kekuatan bersama,” katanya.
Anwar menekankan bahawa Global South mesti mengatur strategi untuk menjadi lebih kuat bagi menahan tekanan yang dihadapi.
“Kami juga perlu mengatur untuk menjadi lebih kuat, agar dapat menahan tekanan yang di luar kawalan kami. Itu bagi saya, kebijaksanaan,” kata pemimpin itu.
Ditubuhkan pada 2009, BRICS terdiri daripada Brazil, Russia, India dan China. Afrika Selatan menyertai organisasi itu pada 2010, manakala Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu menjadi ahli baharu pada Januari tahun ini. Malaysia telah menunjukkan minat menyertai perkumpulan itu. – BERNAMA-SPUTNIK