Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mendedahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah, Perlis dan Kelantan, didapati belum menubuhkan unit integriti.

Beliau berkata, penubuhan unit integriti penting untuk memastikan komitmen semua 156 PBT di seluruh negara dalam membantu usaha kerajaan membanteras rasuah.

Sehubungan itu, Kor Ming mengarahkan PBT yang belum melaksanakan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu segera menubuhkan unit integriti masing-masing.

“Saya memuji Selangor dan Pulau Pinang, contoh terbaik dalam pelaksanaan surat pekeliling JPA untuk menubuhkan unit integriti,” katanya dalam satu kenyataan. 

Beliau memaklumkan, penubuhan unit itu susulan kajian oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak kementerian akan terus memantau serta memastikan unit integriti PBT berfungsi dengan baik.

“Ia demi menjunjung prinsip integriti selaras dengan prinsip Kerajaan MADANI yang menegaskan ketelusan dan tata kelola yang baik,” katanya.

Terdahulu, Kor Ming menerima kunjungan hormat dan laporan kajian daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. 

Pada pertemuan itu, mereka antara lain membincangkan pelan tindakan dan strategi mencegah amalan rasuah selaras aspirasi Malaysia MADANI.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali; Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Wira Nor Azman Taib serta Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Fazli Kenari.-BH Online