Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Walaupun belum mengangkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang menang Pilihan Raya Kecil (PRK) dua minggu lalu, sudah mengotakan janji membawa kemudahan mesin ATM ke kawasan berkenaan.

Setakat ini, tiga mesin ATM sudah disediakan, masing-masing di Kampung Jerek, Bertam Baru dan Rantau Manis. Kemudahan keempat akan ditempatkan di Jeram Tekoh minggu depan, sekaligus meliputi segenap kawasan DUN berkenaan.null

Ketika dihubungi, Mohd Azmawi atau Awie meluahkan rasa syukur apabila usahanya untuk memberi kemudahan kepada penduduk DUN Nenggiri dipermudahkan.

“Jika sebelum ini penduduk berdepan kesukaran untuk mengeluarkan wang, kini tidak lagi dan masalah berkenaan dianggap sudah selesai. Empat mesin ATM diletakkan di kawasan yang strategik, difikirkan selamat dan penduduk mudah untuk ke lokasi berkenaan,” katanya.

Beliau yang bakal mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri pada Oktober ini berkata, rutin hariannya kini sudah berubah dan fokusnya adalah kepada rakyat.

“Bangun pagi pun, perkara pertama saya buat adalah periksa telefon bimbit dan baca masalah penduduk yang disampaikan kepada saya. 

“Antara sering diajukan adalah masalah kesihatan dan bantuan untuk sara hidup. Saya perlu jadi orang tengah di antara penduduk dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Insya-Allah dengan amanah diberikan ini, saya akan beri khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.

Pada PRK 17 Ogos lalu, Mohd Azmawi Fikri menewaskan calon BERSATU mewakili Perikatan Nasional (PN) yang bertanding menggunakan lambang PAS, Mohd Rizwadi Ismail sekali gus merampas kembali kerusi itu untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN).-BH Online