KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) mewujudkan Institut Kajian Ekonomi Bumiputera (IKEB) sebagai platform untuk mencapai matlamat agenda KEB.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata objektif utama penubuhan IKEB itu adalah untuk menyokong kesinambungan pelaksanaan Resolusi KEB 2024 iaitu memastikan semua resolusi dan inisiatif yang dicadangkan dalam KEB 2024 dapat dilaksanakan dengan berkesan dan efisien.
Selain itu katanya, IKEB itu juga bertujuan mengkoordinasikan program dan projek ekonomi Bumiputera dengan menyusun dan melaksanakan program serta projek yang memperkukuhkan ekonomi Bumiputera, termasuk dalam bidang pendidikan, keusahawanan, teknologi, dan industri halal dan pelbagai lagi.
“Objektif IKEB juga adalah untuk membangunkan rangka kerja strategik dengan membentuk rangka kerja yang holistik dan berkesan untuk pembangunan ekonomi Bumiputera yang mapan dan lestari.
“IKEB ini juga bertujuan untuk menyediakan sokongan teknikal kepada MARA dan pihak berkepentingan lain dalam pelaksanaan dan pemantauan pelbagai inisiatif ekonomi Bumiputera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pejabat IKEB di UPTM di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, beliau yakin IKEB juga dapat membantu mendorong kerjasama antara MARA, pihak swasta, agensi kerajaan, universiti tempatan dan luar negara dan masyarakat dalam membantu pembangunan ekonomi Bumiputera.
Namun paling penting katanya, institut itu dapat menjalankan penilaian berkala terhadap program dan projek yang dilaksanakan untuk memastikan keberkesanan dan kesesuaian dengan matlamat yang ditetapkan.
“MARA sentiasa meneliti dan cakna dalam memastikan agenda KEB itu dicapai pada tahap yang maksimum.
“Oleh itu hari ini kita lihat UPTM memiliki IKEB yang membantu memandu arah agenda pemerkasaan Bumiputera pada
landasan yang tepat.
“Ini kerana IKEB akan memainkan peranan penting menjadi sebuah hub untuk melakukan kajian, penilaian dan laporan keberkesanan sesebuah projek dan program di bawah kerajaan MADANI untuk mencapai matlamat KEB yang telah ditetapkan,” katanya.
Terdahulu di lokasi sama, Asyraf Wajdi turut merasmikan Prudence Consulting Group (PACCT) Teaching Accounting Firm (TAF).
Beliau berkata, Firma Perakaunan PACCT adalah industri di bawah program Pembangunan Usahawan Profesional (PROSPEC) seliaan Bahagian Infrastruktur Komersial (BIK) MARA.
“Program tersebut adalah inisiatif bersama di antara BIK dan UPTM untuk menggalakkan akauntan bertauliah Bumiputera memiliki firma perakaunan sendiri.
“Selain itu, UPTM turut menawarkan TAF yang menyasarkan graduan perakaunan UPTM untuk memberi nilai tambah dengan ilmu, kemahiran dan teknikal yang praktikal dalam dunia sebenar perakaunan.
“Diharap langkah proaktif yang dilakukan ini dapat membantu melahirkan lebih ramai akauntan Bumiputera profesional,” katanya.-BH Online