Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pada jam 4.30 petang ini.

Kira-kira 7,000 tetamu termasuk penjawat awam, pesara dan veteran serta badan bukan kerajaan (NGO) dijangka memeriahkan program itu yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara bagi menyemarakkan penghayatan kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia terutama generasi baharu.

Acara itu juga akan disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan selain menerusi Facebook rasmi Perdana Menteri.null

Sebelum ini, Setiausaha Bahagian Pembangunan Masyarakat Kementerian Perpaduan Negara, Zaimy Shaari berkata, majlis itu turut diserikan dengan reruai yang menunjukkan kepelbagaian Malaysia serta acara selingan seperti kupasan penceritaan mengenai wira tidak didendang.

Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2024 bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka akan berlangsung di Dataran Putrajaya, esok. 

Acara gilang-gemilang itu menyajikan perbarisan dan perarakan membabitkan lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam dan 439 aset ketenteraan.

Sementara itu, Anwar dalam hantarannya menerusi platform Instagram hari ini mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama menyemarakkan sambutan ulang tahun kemerdekaan dengan semangat MADANI Jiwa Merdeka!-BH Online