KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjangkakan penganjuran Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur serta tiga negeri lain, termasuk Sarawak, Sabah, dan Pulau Pinang bakal menelan belanja sekitar RM700 juta.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan kos itu tidak sepenuhnya ditanggung oleh kerajaan pusat apabila ketiga-tiga negeri berkenaan bersetuju untuk bersama-sama menanggung kos penganjuran.
“Anggaran kos ini dibuat berdasarkan pengalaman penganjuran Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Hannah berkata, mereka sudah menghantar surat jemputan kepada semua pimpinan negeri untuk menjadi penganjur bersama.
“Selepas peringatan diberikan, hanya tiga negeri yang menjawab untuk menanggung kos berkenaan,” katanya.
Sarawak diakui sebagai penyumbang terbesar dengan menanggung lebih separuh daripada kos, iaitu melebihi RM300 juta, manakala Sabah akan menyumbang RM100 juta dan Pulau Pinang pula RM15 juta.
Dalam perkembangan sama, Hannah memuji langkah penganjuran bersama ini sebagai strategi bijak, yang tidak hanya dapat menjimatkan kos tetapi juga memberikan pengalaman yang lebih variasi kepada atlet dan peminat sukan.-BH Online