Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA BHARU: Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadapi pertuduhan mengikut Akta Hasutan di Mahkamah Gua Musang esok, susulan ceramahnya berkait Raja, agama dan kaum (3R) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.

Polis sebelum ini menyiasat laporan dibuat terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden BERSATU itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Pengerusi BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.

“Ya Tan Sri Muhyiddin akan didakwa esok di Mahkamah Gua Musang berhubung ceramahnya di PRK Nenggiri baru-baru ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kertas siasatan berhubung ucapan bekas Perdana Menteri itu yang didakwa menyentuh isu berkait 3R sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata setakat ini polis sudah mengambil keterangan 66 saksi bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Berikutan itu pada 19 Ogos, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Pengerusi PN berkenaan yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap bekas Perdana Menteri itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.

Rabu lalu Muhyiddin menyerahkan beberapa dokumen kepada polis sepanjang tempoh sejam memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R.

Proses itu dilakukan di pejabatnya yang terletak di bangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).-BH Online