Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kesedaran mengenai keselamatan golongan wanita perlu didedahkan kepada golongan itu seawal usia kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata advokasi itu penting berikutan banyak kes berlaku membabitkan golongan wanita pada masa ini.

Beliau berkata, advokasi membabitkan kanak-kanak perempuan perlu berbeza berbanding golongan dewasa tetapi ia perlu dilakukan secara berterusan mengenai isu keselamatan mereka.

“Kita perlu sentiasa ada advokasi dan melaksanakannya kerana saya rasa ini adalah satu tanggungjawab bersama dan keseluruhan komuniti. 

“Sebab itu kita dapat lihat pada masa ini semakin ramai bertindak kerana mereka sedar perlu buat laporan (jika ada kejadian tidak diingini berlaku). 

“Ini kerana kita juga sudah memberitahu bagaimana hendak melapor dan apa tindakan yang harus dilakukan (dalam advokasi sebelum ini),” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Wanita Ke-63 di sini, hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. 

Mengulas lanjut, Nancy mengakui amat kecewa dengan banyak kes membabitkan wanita ketika ini namun perasaan itu sahaja tidak mencukupi. 

Justeru katanya, semua pihak perlu bertindak dalam hal sedemikian terutama sekali dalam kerajaan. 

“Ini tanggungjawab semua komuniti. Kita perlu bersama-sama mengambil tindakan dan tidak boleh mengambil ringan terhadap perkara yang berlaku walaupun sekecil dari segi penderaan. 

“Ia perlu diambil perhatian jadi sebab itu kementerian juga tidak boleh berputus asa,” katanya.-BH Online