Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PELABUHAN KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok putih, kretek, tembakau bernilai RM118 juta di sini, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata rampasan membabitkan 150.26 juta batang rokok dan 30 tan tembakau di Lapangan Pemeriksaan di Zon Bebas, Pelabuhan Utara dan Zon Bebas Pelabuhan Barat pada 23 Julai dan 12 Ogos lalu.

Menurutnya, rampasan rokok putih, rokok kretek dan tembakau itu yang terbesar setakat tahun 2024.

“Bagi kes pertama, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit II Selangor membuat pemeriksaan ke atas 11 kontena mengandungi 114.26 juta batang rokok putih dipercayai tiada permit import. 

“Semua rokok putih itu dianggarkan bernilai RM10.94 juta dengan duti dan cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM65.32 juta,” katanya di sini hari ini.

Bagi kes kedua katanya, pasukan membuat pemeriksaan dan sitaan ke atas tiga buah kontena mengandungi 36 juta batang rokok kretek yang dipercayai tiada permit import. 

“Semua rokok kretek dianggarkan bernilai RM7.19 juta dengan duti dan cukai dianggarkan berjumlah RM24.48 juta,” katanya.

Beliau berkata, bagi kes rampasan tembakau sebuah kontena mengandungi 30,000 kilogram tembakau juga dipercayai tiada permit import.

“Semua tembakau dianggarkan bernilai RM3.18 juta dengan duti dan cukai dianggarkan berjumlah RM6.98 juta.

Katanya, bagi ketiga-tiga kes, siasatan awal mendapati semua 15 kontena tiba di Pelabuhan Klang pada 22 Julai dan dagangan ini berasal daripada sebuah negara di Asia dan Eropah.

Mengulas mengenai modus operandi kes, beliau berkata, sindiket membuat pengikraran yang tidak benar di dalam dokumen import sebagai baja.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport apa-apa barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan.-BH Online