PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti untuk mengkaji semula Akta Pendaftaran Penjenayah Dan Orang-Orang Yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7) bagi memberi peluang kedua kepada individu yang tersenarai di bawah akta berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata semakan itu adalah untuk membolehkan mereka yang memiliki rekod jenayah atau tersenarai dalam orang tidak diingini meneruskan kehidupan tanpa halangan seperti memohon pekerjaan atau perniagaan.
Beliau berkata, ia membabitkan individu pelbagai kategori seperti golongan yang pernah disiasat dalam kes jenayah namun tidak didakwa, mereka yang dihukum atas suatu kesalahan jenayah serta mereka yang ditahan mengikut undang-undang pencegahan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bukan semua individu boleh dibersihkan daripada senarai di bawah akta terbabit.
“Kami belum lagi buat sebarang keputusan, pihak polis khususnya dan kepemimpinan KDN sekarang sedang meneliti topik ini kerana ada kategori di mana orang yang sekadar dibuka kertas siasatan tapi tak dituduh di mahkamah, namun nama ada (dalam rekod).
“Apabila orang keadaan macam ini, kalau dia nak memohon pekerjaan atau nak mohon lesen perniagaan, dia kena melalui proses tapisan dan tapisan ini biasanya menyebabkan dia tidak dapat peluang pekerjaan itu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Bulan Kebangsaan Peringkat KDN di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, biarpun tujuannya adalah untuk memberi peluang kedua, pihaknya tetap perlu cermat dan melihat kepada aspek yang harus diteliti dalam akta berkenaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, perkara yang berkaitan risiko keselamatan, tidak akan sesekali dikompromi.
“Jadi inilah pertimbangan kami sedang teliti, jadi kami akan bangunkan, semak balik jadual kesalahan atau yang membawa kepada nama itu dimasukkan dalam rekod atau dalam senarai orang tidak diingini.
“Kami akan semak semula fasal dalam Akta 7 ini dari segi tafsiran, dari segi definisi, dari segi memasukkan perkara yang daripada akta lain atau keluarkan perkara yang bertindih.
“Sama ada memerlukan pindaan Akta 7 ataupun memadai dengan menteri invoke (mengguna pakai) Seksyen 14 yang memberi ruang budi bicara pertimbangan menteri untuk mengadakan peraturan,” katanya.
Beliau berkata, setakat ini terdapat lebih sejuta individu yang tersenarai di bawah Akta 7.-BH Online