Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

NEW DELHI: Lawatan rasmi tiga hari Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India berjaya meraih potensi perdagangan berjumlah RM8 bilion, selain RM4.5 bilion komitmen pelaburan daripada pelbagai sektor serta syarikat di negara itu.

Perdana Menteri berkata, ia hasil pertemuan bersama pemain utama industri di India termasuk dalam sektor berkaitan sawit dan produk berasaskan komoditi itu, selain bahan kimia dan produk kimia, minyak dan gas, serta bahan alat ganti kapal terbang.

Pada masa sama, lawatan rasmi ini turut menyaksikan tujuh memorandum persefahaman (MoU) antara perniagaan dengan perniagaan (B to B) membabitkan kedua-dua negara dimeterai, selain lapan MoU antara kerajaan dengan kerajaan (G to G).

“Nilai perdagangan Malaysia-India pada 2023 mencecah RM72.31 bilion dan sebanyak 168 projek pelaburan dilaksanakan sehingga Mac 2024 dengan nilai RM4.5 bilion, mewujudkan 16,640 peluang pekerjaan.

“Layanan amat baik diberikan Kerajaan India termasuk daripada Perdana Menteri, Narendra Modi… saya memanjangkan jemputan kepada Presiden dan Perdana Menteri India untuk mengadakan lawatan ke Malaysia bagi meneruskan lagi momentum hubungan dua hala,” katanya ketika sidang media hari ini, sebelum kembali ke tanah air sebaik menamatkan lawatan rasmi tiga hari ke negara ini.

Ditanya mengenai permohonan menyertai ekonomi dipelopori Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS), Perdana Menteri berkata Modi menyatakan persetujuan untuk memberi sokongan terhadap keputusan Malaysia itu. 

“Tahap ini adalah peringkat awal, peringkat kerjasama di antara negeri dan penyertaan secara langsung itu akan diputuskan oleh wakil-wakil mereka dalam pertemuan ketua-ketua negara di Kazan, Russia dalam satu atau dua bulan,” katanya.

Berhubung tempoh tiga bulan diberikan untuk menzahirkan laporan perkembangan usaha sama India-Malaysia, Anwar berkata tempoh ditetapkan berasaskan sambutan serius Perdana Menteri dan kerajaan India.

“Umpamanya, Perdana Menteri Modi, apabila berbicara mengenai isu pendidikan, beliau secara spontan menawarkan 100 biasiswa untuk anak-anak (Malaysia) belajar di India, begitu juga dalam isu visa yang memerlukan keputusan segera berdasarkan perkembangan semasa. 

“Maknanya tempoh akhir dalam tiga bulan, mesti berikan laporan kemajuan pelaksanaan dan apa-apa masalah berbangkit. Dengan cara sedemikian kita boleh diyakini.

“Apa yang penting dalam kerjasama dengan India ialah hubungan dua hala dan laporan-laporan ini harus mendatangkan hasil yang boleh memberi manfaat secara langsung kepada kedua-dua pihak. 

“Ada yang menjangkakan tiga bulan terlalu pendek, tapi saya tidak fikir begitu. Kalau mahu pacu pertumbuhan yang segar dan kalau mahu negara ini peroleh manfaat dan rakyat mendapat keselesaan, tindakan kita itu harus lebih cepat daripada yang pernah kita lakukan sebelum ini,” katanya. 

Tambah Perdana Menteri lagi, beliau juga membincangkan cadangan untuk melanjutkan tempoh visa yang mana kalau ada sambutan baik daripada kerajaan India untuk berikan kemudahan sama, maka Malaysia juga boleh berbuat demikian.

Ini kerana, katanya selain China, India adalah antara sumber pelancongan utama negara.

“Pelancong India sekarang mencecah hampir 800,000 orang dan kita mengharapkan unjuran jumlah ini meningkat kepada sejuta pelancong,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengadakan mesyuarat meja bulat bersama dengan pemain dan peneraju pelbagai industri dari pelbagai sektor seperti farmaseutikal, kimia dan elektronik, selain bidang seperti pembuatan insulin, logistik dan farmaseutikal. 

Acara terakhir Perdana Menteri sebelum berlepas pulang ialah pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Islam iaitu Maulana Syed Ahmed Bukhari dari Masjid Jama dan Maulana Mahmood A Maddani dari Jamiat Ulama-i-Hind.

Beliau disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan Menteri Digital, Gobind Singh.-BH Online